45 Hari Tanpa Gaji Kakitangan Awam – Tip Ini Membantu Anda Merancang Kewangan

Calendar%20Image-1524x975[1]

Musim perayaan semakin hampir.

Berdasarkan Pekeliling Jadual Pembayaran Gaji Kakitangan Awal 2015, kakitangan awam bakal memperoleh gaji lebih awal pada bulan Julai.

Ia berita baik buat kakitangan awam kerana mereka akan terima gaji seawal 9 Julai, memandangkan hari raya Aidil Firi dijangka jatuh pada 17 atau 18 Julai.

Tarikh penerimaan gaji ini awal 2 minggu berbanding biasanya ia diterima pada 22-25 haribulan.

Berita buruknya pula ialah, gaji pada bulan berikutnya pula diterima pada 25 Ogos 2015, yakni 45 hari selepas gaji diterima pada bulan Julai!

Ya, 45 hari – hampir 7 minggu, dan melebihi sebulan tempoh tersebut.

Ia merupakan cabaran besar bagi penjawat awam untuk mengurus wang gaji tersebut.

Jadi tulisan ini memberikan beberapa tip dan panduan kepada para penjawat awam untuk menguruskan gaji sebegini, dan ia juga boleh digunakan pada masa-masa akan datang kerana situasi yang sama turut dijadualkan akan berlaku pada bulan September sempena sambutan Aidil Adha dan bulan Disember bagi sambutan Krismas.

Saya bahagikan kepada 3;

  1. Persediaan mental
  2. Sepanjang bulan Ramadhan
  3. Persiapan perayaan

 

Persediaan mental dan persiapan awal

  • Ingat, yang berlaku hanyalah “terima gaji lebih awal”, bukan “terima gaji lebih banyak”. Anda hanya menerima gaji 2 minggu lebih awal, bukan menerima gaji 2 mingu lebih banyak. Menganggap penerimaan gaji lebih awal sebagai bonus adalah petanda buruk dalam perancangan kewangan.
  • Oleh itu, belanja secara normal dan tidak habiskan wang gaji pada bulan Jun dalam masa 14 hari beza masa penerimaan gaji Jun – Julai. Jika tidak, maka akan meranalah selepas raya kelak.
  • Kemudian, gaji bulan Jun yang diterima pada 25 Jun jangan dihabiskan menjelang gaji 9 Julai. Sebaik sahaja terima gaji 9 Julai, simpan ia untuk digunakan pada waktu yang sebatelnya. Gunakan gaji tersebut hanya selepas 25 Julai, bukan sebaik sahaja ia diterima pada 9 Julai.
  • Rancang perbelanjaan menjelang musim perayaan dengan baik. Selalunya perbelanjaan akan meningkat setiap kali menjelang musim perayaan. Jadi, jika tidak dirancang dengan baik, ditambah pula dapat gaji lebih awal – kita akan lebih terdorong berbelanja.

 

Sepanjang Bulan Ramadhan

  • Usah membazir. Mengikut data yang dikeluarkan baru-baru ini, rakyat Malaysia membazirkan 270,000 tan makanan! ia menunjukkan bahawa rakyat Malaysia suka membazir dalam membeli makanan.
  • Hadkan perbelanjaan di bazar Ramadhan. Caranya ialah dengan membawa wang yang cukup-cukup sahaja seperti RM5 atau RM10 atau RM20 sahaja supaya kita tidak berbelanja melebihi had. Jika tidak pergi ke bazar Ramadhan adalah lebih baik. Sehari dapat jimat RM20, maka sebulan kita dapat jimat RM600.
  • Jika ke bazar Ramadhan juga, tahan nafsu lapar anda. Di bazar Ramadhan kita tentu rasa ingin membeli semua makanan yang kita suka, tapi ketahuilah bahawa bulan puasa ada 30 hari dan jika sehari kita bei 2 jenis makanan, sebulan ia berjumlah 60 jenis. Esok masih ada.
  • Memasak makanan sendiri adalah lebih afdhal, lebih baik dan lebih ekonomi. Ambil kesempatan waktu pulang yang lebih awal berbanding di luar bulan Ramadhan untuk menyediakan makanan sendiri.

 

Persediaan Perayaan

  • Bersederhana adalah lebih baik. Ada yang lebih penting daripada baju raya, kuih raya, kereta raya, perabot raya, langsir raya dan sebagainya – iaitu ikatan silatur-rahim sesama ahli keluarga dan sanak saudara. Fokus kepada aktiviti ziarah menziarahi bukan kepada menunjuk-nunjuk.
  • Baju raya – jika baju tahun lepas masih molek, maka eloklah gunakannya sekali lagi. Jika beli baju baru, belialah pakaian yang boleh dipakai di luar musim perayaan agar ia tidak membazir dan terperok di dalam almari selama 11 bulan di luar musim raya. Lebih malang lagi, apabila hendak dipakai pada raya berikutnya, saiz baju semakin mengecil.
  • Hias rumah tidak semestinya dengan perabot dan langsir baru. Mungkin dengan hanya cat dengan warna yang lain boleh memberikan pemandangan baru kepada rumah umpama rumah baru.
  • Merancang untuk tukar kereta sempena raya? Elok fikirkan alternatif menaiki pengangkutan awam atau menyewa sahaja di musim perayaan. Lebih menjimatkan berbanding membayar ansuran bulanan kenderaan yang terpaksa kita tanggung 11 bulan berikutnya, dan 7 – 9 tahun hutang. Tidak masuk lagi kos-kos lain memiliki kenderaan seperti petrol, roadtax, insurans kenderaan, servis dan sebagainya. Jika selama ini kenderaan sedia ada sudah memadai, kekalkan.
  • Jangan buat hutang. Cukup-cukplah dengan hutang sedia ada dan jangan tambah lagi hutang baru. Jauhkan sama sekali hutang baju raya, hutang kuih raya, hutang perabot, dan segala macam hutang yang hanya untuk kepuasan sementara.

 

Leave a Reply

Boleh kita jumpa depan-depan, supaya saya dapat kenal pasti pengurusan kewangan bersesuaian dengan diri anda?
Adakah tuan sudah terima emel kami?
Jika belum, mohon cek emel di folder spam
Ya, Sudah Dapat!