Perangkap Menanti Mangsa

Tulisan perunding kami yang tersiar di Harian Metro. 

http://www.hmetro.com.my/node/14529


10407110_769285516453701_4253615490335071516_n

Pelaburan Emas : PERANGKAP MENANTI MANGSA

Pelaburan emas semakin menjadi pilihan dengan hampir setiap hari kita disogokkan pelbagai skim yang menjanjikan keuntungan. Namun, tidak semua skim boleh dipercayai kerana ada antaranya umpama perangkap menanti mangsa.

Daripada 188 syarikat dalam senarai perhatian Bank Negara Malaysia (BNM), 70 adalah syarikat yang berkaitan pelaburan emas. Ini bermakna lebih satu daripada tiga skim menawarkan skim meragukan dan pelabur perlu berhati-hati.

Antara ganjaran biasa yang dijanjikan skim ini adalah beli emas dapat duit setiap bulan, beli emas dapat rumah, beli emas dapat kereta dan pelbagai lagi modus operandi yang menawarkan pulangan lumayan.

Secara umumnya, mereka menawarkan kaedah mendapatkan wang dengan cara terlalu mudah menjadikan kebanyakan pelabur tidak berfikir panjang. Rata-rata program dan pelaburan yang ditawarkan berselindung di sebalik urusniaga jual beli emas.

Ketika ini, harga emas sedang mengalami zaman kejatuhan yang sudah bermula sejak penghujung 2012 hingga sekarang dan dijangka berlanjutan sehingga 2015. Sejak ia memuncak sekitar tahun 2011, kejatuhan dalam tempoh empat tahun ini dianggarkan sekitar 10 peratus setahun.

Maknanya, jika emas dibeli pada tahun 2011 dan dijual hari ini, bermakna ia pelaburan yang merugikan.

Pelaburan adalah untuk jangka masa panjang dengan tempoh minimum antara lima ke 10 tahun.

Tetapi, majoriti rakyat negara kita tidak sabar untuk menunggu lama sedangkan sekiranya mereka menyimpan wang di Tabung Haji sebanyak RM500 sebulan secara konsisten selama 30 tahun boleh menghasilan pulangan mencecah RM500,000 dengan purata pulangan enam peratus setahun.

Persoalannya, tidak ramai yang sanggup sabar berdikit-dikit RM500 sebulan selama 30 tahun.

Kerana itu ramai sukakan pelaburan yang menawarkan pulangan segera seperti program emas yang memerlukan modal RM100,000 dan dijanjikan pulangan sebanyak RM20,000 sebulan selama 10 bulan.

Mereka sanggup bergolok bergadai, membuat pinjaman peribadi, pinjaman ceti haram sehingga RM100,000 untuk mendapatkan pulangan daripada pengelola skim emas yang sedang rancak hari ini.

Ciri utama skim pelaburan haram berasaskan emas ini adalah menjanjikan pulangan hingga boleh mencecah melebihi 100 peratus pulangan setahun. Ini adalah pelaburan tidak masuk akal kerana secara logik ia mengatasi pelaburan ulung di dunia seperti Warren Buffet atau Benjamin Graham. Malah, ia lebih tinggi daripada saham utama dunia dan juga tempatan.

Dalam sejarah sudah ada banyak skim pelaburan seumpama itu yang menawarkan pulangan tinggi dan ia tidak kekal lama. Pelaburan seperti skim forex, skim pelaburan Dana Haji Jasman, skim pelaburan ikan arowana atau skim pelaburan burung unta.

Antara ciri lain untuk mengenal pasti skim berkonsep penipuan ini adalah apabila pembelian emas tidak mendapat emas fizikal. Ini bermakna, pelabur hanya dijanjikan pulangan semata-mata tetapi tidak berhak memiliki emas yang sepatutnya mereka miliki.

Ini kerana dalam urusan jual beli, tidak ada emas fizikal yang diperoleh malah dalam banyak kes, syarikat atau pengelola skim emas langsung tidak menunjukkan emas fizikal yang kononnya menjadi produk urusan jual beli itu.

Biasanya ia diperoleh dalam bentuk kertas sama ada kontrak jual beli atau sijil perakuan ketulenan emas.

Risiko yang perlu ditanggung pelabur adalah bagaimana untuk memastikan ketulenan emas berkenaan. Berat dan saiznya hampir 99.99 peratus menepati saiz dan berat emas tulen. Jika menggunakan mata kasar, penimbang biasa atau ujian ketumpatan air pun belum tentu mampu mengesan penipuan ini.

Sudah terdapat banyak kes pajak gadai tertipu dengan emas yang dipajak oleh pelabur dan pengelola emas terutama dalam bentuk jongkong.

Hanya dengan ilmu pengetahuan saja dapat mengawal risiko yang berlaku dalam sesebuah pelaburan. Tapi dalam kes pelaburan emas, pelabur sangat terdedah kepada risiko penipuan.

Keraguan yang ditimbulkan ini dapat mengelakkan diri kita daripada menjerumuskan diri daripada terbabit dalam skim pelaburan emas yang kebarangkalian besarnya adalah penipuan.

Oleh: Afyan Ma Rawi (Perunding Kewangan Bertauliah IFP di INFAQ Consultancy & Advisory)

http://www.hmetro.com.my/node/14529

Leave a Reply