Perancangan Kewangan Kematian

Perancangan kewangan Islam bukan semata perancangan kewangan untuk KEHIDUPAN malah juga perancangan kewangan untuk menghadapi saat KEMATIAN.

Sebab, selepas berlaku KEMATIAN, harta si mati akan digunakan untuk urusan-urusan berikut;

1) Pengurusan jenazah

2) Melangsaikan hutang

3) Pembahagian harta sepencarian

4) Menunaikan wasiat

5) Pembahagian faraidh

Berikut dihuraikan satu per satu

1) Pengurusan jenazah

Kos urusan jenazah ditanggung oleh ‘si mati’ menggunakan harta peninggalannya.

Dari urusan mandi jenazah (kos air, kos kapur barus, kos sabun), dikapankan (kos kain kafan, kos tali pengikat kain kafan), disolatkan, dan dikebumikan (kos van jenazah, kos gali kubur oleh Tok Adi).

Kos-kos di atas memerlukan wang yang akan ditolak dari harta peninggalan si mati.

Sebab itu dalam masyarakat Melayu Muslim ada amalan khairat kematian di surau atau masjid  untuk digunakan apabila berlaku kematian di dalam qaryah.

2) Melangsaikan hutang.

Hutang terbahagi kepada dua;

2.a) Hutang dengan Allah, seperti; qadha solat, qadha puasa, qadha zakat, badal haji.

Hutang-hutang di atas boleh diselesaikan melalui bayaran fidyah dan upah badal haji. Semua akan ditolak dari harta peninggalan si mati.

2.b) Hutang dengan manusia, seperti hutang rumah, hutang kereta,hutang runcit,hutang peribadi, hutang PTPTN, dan hutang-hutang lain.

Hutang-hutang ini perlu dilangsaikan menggunakan harta peninggalan si mati.

Hutang wajib dibayar sekalipun tidak dituntut. Malah dalam hadith menyebut bahawa roh jenazah orang yang mati syahid pun akan tergantung sehinggalah hutangnya diselesaikan.

3) Pembahagian harta sepencarian.

Perkara ini perlu diuruskan apabila si mati mempunyai pasangan yang masih hidup. Proses ini perlu mendapat kelulusan daripada mahkamah syariah. Saya pernah menulis sebelum ini di http://rahsiatakaful.com/bagaimana-merancang-harta-sepencarian.html

Maksima tuntutan harta sepencarian selalunya 50% daripada harta peninggalan si mati. Ia bergantung kepada kadar sumbanagn pasangan sewaktu hidup.

4) Menunaikan wasiat

Wasiat atau hasrat arwah sewaktu hidup perlu ditunaikan, jika ada. Dalam berkaitan dengan urusan kewangan, wasiat tersebut tertakluk kepada 1/3 baki harta. Sebagai contoh jika arwah mahu mendermakan harta kepada anak angkat, anak yatim, masjid atas sebagainya. Ia sangat penting kerana jiak ia diwaqafkan, ia akan menjadi amal jariah si mati di dalam kubur.

5) Pembahagian faraidh.

Ini adalah perkara yang paling akhir sekali perlu dilakukan selepas urusan-urusan di atas selesai.

RUMUSAN:

Perancangan kewangan seseorang muslim perlu dirancang bukan sekadar untuk kehidupan sewaktu hidup, malah juga perlu dirancang kewangan selepas berlaku kematian. Jika tidak ia, harta atau hutang  yang ditinggalkan ketika hidup akan menambah beban ahli keluarga yang tinggal.

Bagaimana Merancang Harta Sepencarian

Tuntut+Pusaka[1]

 

Bagi pasangan suami isteri, pembelian rumah dalam tempoh perkahwinan boleh dianggap sebagai harta sepencarian.

Supaya memudahkan proses tuntutan harta sepencarian, ada beberapa cara yang boleh dilakukan oleh pasangan suami isteri.

Cara pertama, rumah dibeli atas kedua-dua nama suami dan isteri. Dengan cara ini, masing-masing memiliki hak 50% – 50% terhadap rumah yang dibeli.

Cara lain ialah, rumah boleh dibeli atas nama salah seorang dan kemudian selepas selesai proses pembelian, boleh dibuat deklarasi harta sepencarian. Deklarasi ini untuk membuat pengisytiharan rasmi bahawa rumah yang dibeli tadi adalah harta sepencarian pasangan suami isteri tadi.

Dalam deklarasi tersebut, pasangan boleh memilih bahagian masing-masing 50% – 50%, 60% – 40%, atau sebagainya. Yang paling ideal ialah 50% – 50%. Deklarasi ini boleh dibuat melalui peguam.

Perancangan harta sepencarian juga merupakan sebahagian daripada perancangan kewangan dan harta muslim.

Deklarasi harta sepencarian adalah dokumen yang berasingan daripada wasiat kerana wasiat hanya berfungsi apabila berlaku kematian manakala deklarasi harta sepencarian pula akan akan berfungsi selain dari berlaku kematian, iaitu perceraian atau poligami.

Merancang harta sepencarian ini memudahkan proses tuntutan di kemudian hari, sama ada berlaku kejadian seperti perceraian, poligami atau kematian.

Implikasinya nanti, bahagian masing-masing sudah dirancang awal-awal dan dapat mengurangkan konflik di kemudian hari.

Contohnya, apabila suami meninggal dunia maka isteri perlu membuat permohonan di mahkamah untuk mendapatkan hak harta sepencarian rumah yang dibeli atas nama suami. Ini memerlukan isteri arwah mengumpulkan dokumen-dokumen sokongan untuk dibuktikan di mahkamah.

Jadi, dengan adanya dokumen deklarasi harta sepencarian akan memudahkan isteri tadi membuat tuntutan.

Jika tidak dibuat tuntutan harta sepencarian, hak faraidh isteri tadi hanyalah 1/8 (jika ada anak)  atau 1/4 jika ada anak.

Melalui tuntutan harta sepencarian, isteri boleh mempunyai hak 50% ke atas rumah dan baki 50% lagi barulah difaraidhkan sesama ahli waris.

Maknanya isteri boleh mendapat hak majoriti ke atas rumah tadi, apabila dicampur hak harta sepencarian 50% dan hak faraidh sehingga 25%.

Jika tidak, ada kemungkinan isteri tadi terpaksa keluar rumah apabila hanya bergantung kepada hak faraidh yang paling tinggi pun 25% sahaja.

 

Isu Harta Sepencarian

Harta Sepencarian

Isu harta sepencarian merupakan isu fiqh muamalat kontemporari.

Ia tidak ada secara jelas di dalam al-Quran, Hadith malah dalam kitab-kitab fiqh 4 mazhab.

Di Malaysia, harta sepencarian merujuk kepada harta yang dimiliki oleh pasangan suami isteri SELEPAS berkahwin. Kata kuncinya ialah “SELEPAS BERKAHWIN”.

Isu harta sepencarian, akan timbul dalam 3 situasi, iaitu;

1. Kematian salah seorang pasangan

2. Poligami

3. Penceraian

Apabila berlaku ketiga-tiga situasi di atas, maka akan timbul isu harta sepencarian.

Dan selalunya isu ini akan timbul dalam situasi yang tidak harmoni, yakni berlaku perebutan hak masing-masing di antara ahli waris (dalam kes kematian), atau di antara suami-isteri (dalam kes poligami dan penceraian).

Praktis di Malaysia, isu harta sepencarian terpaksa diputuskan di mahkamah. Apabila ia berlaku dalam keadaan tidak harmoni dan perebutan, sudah tentu ia boleh meretakkan hubungan keluarga dan merumitkan keadaan.

Sebagai contoh, dalam kes kematian si suami, akan timbul tuntutan harta sepencarian oleh si isteri di mahkamah. Situasi akan bertambah sulit apabila adik beradik si suami masuk campur menuntut hak faraidh mereka dalam kes pasangan tanpa anak atau tiada anak lelaki.

Tambah memeritakan, apabila si suami terpaksa turun naik mahkamah untuk menuntut harta sepencarian yang dibina bersama suami ketika hidup dan di atas nama suami.

Jika dalam kes penceraian dan poligami, lebih akan menimbulkan berantakan terutama proses penceraian dan poligami berlaku dalam keadaan tidak harmoni. Jarang sekali di Malaysia berlaku kes penceraian dan poligami secara baik. Ada, tapi jarang-jarang berlaku.

Sebenarnya, ada SOLUSI untuk perkara ini.

SOLUSInya ialah dengan membuat satu perjanjian di antara suami isteri melalui DEKLARASI HARTA SEPENCARIAN.

Sebaiknya ia dibuat melalui peguam atau melalui pemegang amanah. Dalam deklarasi ini, pasangan akan mengisytiharkan mana-mana harta sebagai harta sepencarian dan ia hendaklah mempunyai saksi dan duti stem.

Dengan dokumen ini, apabila berlaku ketiga-tiga situasi di atas, ia lebih memudahkan pasangan yang terlibat dan juga mahkamah untuk memutuskannya.

Dan yang paling penting, ia perlu dilakukan ketika rumah tangga harmoni, sebelum berlakunya 3 perkara di atas.

Boleh kita jumpa depan-depan, supaya saya dapat kenal pasti pengurusan kewangan bersesuaian dengan diri anda?
Adakah tuan sudah terima emel kami?
Jika belum, mohon cek emel di folder spam
Ya, Sudah Dapat!