Membuat Perancangan Simpanan Pendidikan Anak (Bahagian 2)

ayah-sudah-simpan[1]

Tulisan ini adalah sambungan daripada tulisan sebelum ini yang bertajuk Membuat Perancangan Simpanan Pendidikan Anak.

Manakah instrumen yang terbaik?

Sekiranya kita menemui seorang wakil takaful untuk meminta plan terbaik bagi pendidikan anak-anak, sudah tentu dia akan mencadangkan plan takaful pendidikan.

Sebaliknya, sekiranya kita menemui seorang ejen unit amanah bagi tujuan yang sama, maka sudah tentu dia akan mencadangkan unit amanah sebagai instrumen terbaik.

Manakala sekiranya kita ke bank-bank pula, sudah tentu pegawai bank akan mencadangkan skim simpanan pendidikan bank berkenaan atau Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Jadi, manakah yang terbaik?

Oleh kerana saya seorang wakil takaful, tentulah saya akan mengatakan bahawa skim takaful pendidikan adalah yang terbaik? 🙂

Oh, sebenarnya tidaklah begitu….

Untuk tulisan ini, saya tidak akan bias kepada fungsi takaful pendidikan sekalipun saya seorang wakil takaful. Dan sebenarnya beginilah pembentangan saya tentang perancangan pendidikan dalam mana-mana pertemuan dengan prospek, atau taklimat dan ceramah.

Jadi, sebelum meneruskan pembacaan, eloklah terlebih dahulu baca tulisan saya sebelum ini yang bertajuk Membuat Perancangan Simpanan Pendidikan Anak, kerana saya akan menggunakan contoh yang telah digunakan di dalam tulisan tersebut.

Tiada orang yang merancang untuk gagal, tetapi ramai yang gagal untuk merancang…

Dalam merancang pendidikan anak-anak, beberapa faktor yang menjadi asas pengiraan adalah umur ibu bapa, umur anak, tempoh masa serta sasaran simpanan.

Sebagai contoh dalam kes yang sebut dalam tulisan sebelum ini, bagi sepasang suami isteri yang mempunyai anak berusia setahun dan merancang untuk mengumpulkan wang sebanyak RM 80,000 pada usia anak 18 tahun, maka mereka perlu menyimpan sebanyak RM 277.00 sebulan.

Pengiraan ini dibuat tanpa mengambil kira kadar keuntungan simpanan (atau dalam bahasa perbankan konvensional disebut ‘faedah’ tersebut. Ia bertujuan memudahkan proses pengiraan iaitu RM 80,000 bahagi 17 tahun bahagi 12 bulan = RM 277.00.

Dibundarkan kepada ratus yang hampir, jumlah RM 277.00 menjadi RM 300.00.

Jadi, secara umumnya untuk mengumpulkan sekurang-kurangnya RM 80,000 selama 17 tahun, seseorang perlu menyimpan sebanyak RM 300.00 sebulan.

Di peringkat ini, kesedaran tentang peri pentingnya simpanan awal bagi tujuan pendidikan anak-anak adalah amat penting. Maka timbul persoalan di sini, di manakah tempat simpanan yang terbaik untuk RM 300.00 sebulan tadi.

Baiklah, kita buat perbandingan satu persatu;

1) SIMPANAN

Sebagaimana yang saya sebutkan di awal tulisan sebelum ini, instrumen yang terbaik untuk membuat simpanan pendidikan adalah SIMPANAN. Maka tempat yang sesuai untuk menyimpan adalah institusi penyimpanan, iaitu bank.

Mudah bukan?
Nampak mudah, namun ia tidaklah semudah yang disangka kerana selalunya apabila simpanan dibuat di bank, isu yang selalu timbul ialah DISIPLIN.

DISIPLIN di sini adalah disiplin menabung secara konsisten dan rutin secara bulanan, dan yang kedua untuk berdisiplin dalam memastikan tiada satu sen pun yang keluar dari tabungan tersebut sebelum sampai tempoh usia anak 18 tahun.

Apa pun, sebenarnya ia adalah instrumen yang terbaik untuk menyimpan kerana dengan menyimpan pada kadar RM 300 sebulan dengan kadar keuntungan 5% setahun, mampu menghasilkan sejumlah RM 97,676 pada usia anak tersebut 18 tahun.

Namun, ia berbalik kepada dua disiplin tadi. Disiplin pertama: menyimpan secara konsisten RM 300 sebulan selama 17 tahun, dan disiplin kedua: tidak mengeluarkan walau satu sen pun daripada tabung berkenaan.

2) PELABURAN

Fungsi pelaburan adalah untuk menjana lebih PENDAPATAN dan SIMPANAN. Ia telah saya sentuh dalam tulisan saya yang bertajuk 7 Langkah: Asas Pengurusan Kewangan.

Jadi, secara teorinya, berbanding dengan membuat SIMPANAN di bank, sudah tentu PELABURAN akan menghasilkan pulangan yang lebih tinggi.

Sekiranya simpanan secara tetap RM 300 sebulan pada kadar keuntungan 5% setahun selama 17 akan menghasilkan RM 97,676, maka sudah tentu PELABURAN akan menghasilkan kadar pulangan yang lebih lumayan.

Maka, PELABURAN sebanyak RM 300 sebulan pada kadar keuntungan 15% setahun selama 17 tahun, akan menghasilkan RM 269,410!!!! Ia sudah mampu untuk membiayai anak tadi sehingga ke peringkat PhD. Atau ia mampu menampung sejumlah 3 orang anak dengan kadar RM 80,000 seorang.

Namun, apabila memperkatakan tentang pelaburan, ia tidak akan lari daripada RISIKO. Perkara ini berkali-kali saya tekankan di dalam perbincangan laman facebook saya (iklan: sudahkah saudara/i masukkan nama saya sebagai rakan facebook saudara/i?), bahawa ‘kalau takut dengan RISIKO, usah bicara soal PELABURAN’.

RISIKO dan PELABURAN adalah umpama adik beradik kembar siam. Semakin tinggi pulangan yang dijanjikan, semakin tinggi risiko yang perlu dihadapi. Prinsipnya mudah, high risk, high return, low risk, low return.

Jadi, kebarangkalian yang paling buruk akan berlaku di dalam PELABURAN (worst case scenario), RM 300 sebulan yang anda laburkan tadi akan LEBUR!

3) PERLINDUNGAN

Apabila disebut tentang perlindungan di sini ia adalah merujuk kepada takaful, dan produk takaful yang dimaksudkan adalah takaful pendidikan.

Jika saudara/i mampu membuat SIMPANAN dengan berdisiplin, atau bijak membuat PELABURAN yang menjanjikan pulangan yang tinggi, ia sudah tentu akan terganggu apabila berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.

Sejauh mana kita mampu menjamin bahawasanya kita mampu untuk membuat SIMPANAN atau PELABURAN sebanyak RM 300 sebulan selama 17 tahun?

Sudah tentu perancangan tersebut akan tergendala sekiranya berlaku kematian, lumpuh atau sakit kritikal.

Jadi, di sinilah fungsi takaful.

Secara perkiraan matematik, memang SIMPANAN di dalam polisi takaful tidak akan mampu menyaingi pulangan di dalam akaun simpanan tetap bank atau mana-mana pelaburan.

RM 300 sebulan selama 17 tahun di dalam instrumen PELABURAN dan instrumen SIMPANAN menghasilkan pulangan yang jauh lebih tinggi daripada pulangan di dalam instrumen PERLINDUNGAN / TAKAFUL.

Namun, yang membezakan fungsi PERLINDUNGAN a.k.a takaful pendidikan tadi adalah jaminan RM 300.00 sebulan tadi akan berterusan sekalipun hayat kita untuk menyimpan tidak lama (dengan syarat, simpanan tersebut berterusan sebelum berlaku musibah)

Sebagai contoh, sekiranya caruman sebanyak RM 300 tadi dibuat ke dalam polisi takaful pendidikan, maka caruman tersebut akan berterusan sekalipun berlaku kematian, lumpuh atau sakit kritikal menimpa diri kita. Inilah perbezaan utama antara TAKAFUL PENDIDIKAN dengan SIMPANAN PENDIDIKAN dan PELABURAN PENDIDIKAN.

Dalam masa sama, ia juga turut memberi PERLINDUNGAN kepada si anak sekiranya berlaku sebarang musibah.

Dan satu lagi, takaful pendidikan akan memberi sedikit paksaan kepada kita untuk membuat pembayaran caruman secara rutin.

Jadi, mana satu pilihan saudara/i?

Saya memilih untuk menggunakan kesemua instrumen. Bukankah tidak elok untuk letakkan semua telur dalam satu bakul? 🙂

(mungkin bersambung lagi)

Membuat Perancangan Simpanan Pendidikan Anak

Membuat Perancangan Simpanan Pendidikan Anak
www.afyan.com

educationduit

“Apakah instrumen terbaik untuk membuat simpanan pendidikan anak saya?” soalan begini begitu rutin kepada saya selaku seorang perunding takaful dan kewangan Islam.

Sebenarnya jawapan bagi soalan di atas sudah terkandung di dalam soalan tersebut!

Jawapannya ialah simpanan.

Ya, instrumen terbaik untuk membuat simpanan pendidikan anak adalah SIMPANAN!

Mungkin jawapan saya ini diskredit kepada saya selaku wakil takaful. Dan mungkin ada ejen unit amanah yang akan marah-marah kepada saya sekiranya saya katakan bahawa instrumen unit amanah (unit trust) bukanlah instrumen yang paling sesuai untuk membuat simpanan pendidikan.

(Nota: Saya juga adalah seorang ejen unit amanah yang berdaftar, tetapi tidak menjualnya)

Namun, hakikatnya ialah simpanan ialah simpanan.

Takaful ialah perlindungan. Takaful bukan simpanan, atau pelaburan.

Manakala unit amanah (unit trust) adalah pelaburan. Unit amanah bukan simpanan!

Kenal Pasti Instrumen Kewangan Anda

Saya pernah menyentuh perkara ini di dalam; Jangan Gunakan Kapak Untuk Memotong Sayur!.

Lebih detail lagi, saya juga ada menerangkan tentang konsep pengurusan kewangan menggunakan 7 langkah di dalam tulisan bertajuk 7 Langkah: Asas Pengurusan Kewangan, dan Modul Piramid Pengurusan Kewangan.

Lihat kembali ke Cashflow Piramid yang saya nyatakan itu, perhatikan kepada tiga langkah; SIMPANAN, PERLINDUNGAN dan PELABURAN.

Kombinasi ketiga-tiga elemen ini boleh digunakan untuk merancang pendidikan anak-anak.

Merancang Pendidikan Anak

Sebelum pergi lebih jauh lagi, dalam merancang pendidikan untuk anak-anak, ada beberapa langkah yang perlu dilakukan.

Pertama; Letakkan sasaran tempoh masa.

Kedua; Letakkan matlamat jumlah simpanan yang diperlukan.

Ketiga; Jumlah simpanan yang disasarkan pada langkah ketiga, dibahagi dengan tempoh masa pada langkah pertama.

Contoh;

Pertama; Letakkan sasaran tempoh masa.

Untuk langkah ini, kira berapakah lama lagi tempoh yang kita ada untuk membuat perancangan. Jika anak kita berusia 6 tahun, sudah tentu berbeza tempohnya jika anak kita yang baru lahir.

Katakanlah umur anak kita setahun dan kita jangkakan dia akan masuk universiti pada usia 18 tahun. Maka tempoh yang ada adalah selama 17 tahun.

Kedua; Letakkan matlamat jumlah simpanan yang diperlukan.

Seeloknya mulakan dengan anggaran kos perbelanjaan yuran pengajian universiti sekarang dan anggaran untuk 17 tahun akan datang.

Katakanlah kos pengajian undang-undang bagi universiti tempatan adalah kira-kira RM 40K, dan anggaran 17 tahun akan datang adalah 80K. Ia adalah anggaran kasar berdasarkan trend inflasi semasa.

Anggaran RM 80K ini adalah untuk perbelanjaan yuran universiti sahaja, tanpa mengira perbelanjaan lain seperti makanan, buku, pengangkutan, penginapan dan sebagainya.

Ketiga; Jumlah kos pada langkah ketiga, dibahagi dengan tempoh masa pada langkah pertama.

RM 80K dibahagikan dengan tempoh 17 tahun. Kita akan mendapat jawapan: RM 4706.00.

Maka, untuk mendapat jumlah simpanan bulanan yang perlu dilakukan, jumlah RM 4706.00 dibahagikan pula dengan 12 bulan.

Kita akan mendapat jawapan RM 277.00.

Maka, untuk mengumpulkan jumlah SIMPANAN pendidikan sebanyak RM 80,000.00 bagi anak kita yang berusia setahun pada usianya 18 tahun, kita perlu membuat simpanan rutin sebanyak RM 277 sebulan selama 17 tahun bermula daripada sekarang.

Ingat, ini untuk seorang anak. Bagaimana sekiranya saudara merancang untuk mendapat 5 orang anak?

Mungkin bersambung… 🙂

Bisnes, Takaful dan …

Kalau boleh saya tidak mahu melakukanya.

Memang saya tidak sempat. Malah kalau diikutkan, sudah lebih sebulan pihak ejensi meminta saya menyiapkannya.

Ini adalah tahun ketiga saya membuatnya, bermula pada 2007. Ketika itu saya masih lagi masih lagi menerima tempahan bisnes printing yang saya lakukan semenjak 2003 lagi.

Asalnya ketika mula-mula saya menjadi perunding takaful pada 2003, saya memperkenalkan juga bisnes percetakan ini. Lalu saya mendapat tempahan-tempahan daripada rakan-rakan perunding lain untuk mencetak bahan-bahan promosi seperti bisnes kad, banner, banting, iklan dan sebagainya.

Namun, apabila bisnes takaful saya semakin berkembang sedikit demi sedikit maka saya mengambil keputusan untuk melakukannya secara sepenuh masa pada 2007.

Memandangkan saya ingin memberi fokus sepenuhnya kepada takaful, saya mula meninggalkan bisnes percetakan sedikit demi sedikit. Jika ada permintaan, saya akan memberi kepada bekas rakan kongsi saya di dalam bisnes tersebut.

Namun, permintaan ini tidak mampu untuk saya tolak. Permintaan daripada ejensi serta rakan-rakan perunding, menyebabkan saya tidak sampai hati menolaknya.

Sebenarnya kerja-kerja grafik dan membuat artwork, memerlukan ketelitian dan kereativiti yang tinggi dan ia terlalu subjektif untuk menilai hasilnya. Memandangkan sudah agak lama saya meninggalkan bidang kreativiti ini, saya terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk menyudahkan kerja yang semudah ini suatu ketika dahulu.

Lalu, inilah hasilnya yang tidak seberapa, Kad Raya Takaful IKHLAS…

Artwork Penuh

Pandangan Hadapan

Pandangan Belakang

Pandangan Dalam

Jika ada sesiapa yang ingin menempahnya, sila isikan borang di sini.

Oh ya, harganya RM 70 sen sahaja 🙂

Seni Menghadapi Pelanggan


Saya memperlajari ilmu ini secara ”live” daripada Ketua Ejensi saya, En Isa Sabitan.

Seorang pelanggan takaful kawan saya ingin membatalkan polisi takafulnya.

Dia ingin menutup polisi takafulnya, dan mengambil nilai tunai yang ada daripada polisi takafulnya itu.

Beliau menemui ketua ejansi saya, En Isa yang kebetulan berada di dalam pejabat kami pada waktu itu. Saya berada di meja sebelah ketika itu.

“Saya ada sedikit masalah kewangan. Jadi saya ingin membuat pengeluaran polisi takaful saya sekaligus menutupnya” kata pelanggan tersebut, sambil menunjukkan polisi takafulnya.

En Isa membelek-belek polisi tersebut dan membuat anggaran wang yang yang bakal diterimanya.

”Jika encik tutup polisi ini, encik akan dapat kira-kira RM 400.00”, kata En Isa.

”Oh, begitu”, kata pelanggan tadi.

Beliau telah membuat caruman sebanyak RM 100 sebulan selama kira-kira setahun lebih.

”Kenapa sedikit sahaja ye?”, tanya beliau ingin mendapatkan kepastian.

”Wang caruman encik telah digunakan untuk operasi syarikat bagi memberi perlindungan kepada peserta-peserta takaful yang ditimpa musibah”, jelas En Isa satu persatu.

”Tapi saya sudah membuat caruman sebanyak lebih daripada RM 1000”, tanya pelanggan itu lagi..

”Ya, betul. Jika encik membuat simpanan di dalam bank, encik akan dapat jumlah yang sama dengan encik simpan, iaitu kira-kira RM 1200.00 selepas membuat simpanan selama setahun dengan kadar RM 100.00”, kata En Isa.

”Tetapi, di takaful, dengan jumlah caruman sebanyak itu, encik memiliki perlindungan sebanyak RM 70,000.00 apabila encik mencarum sebanyak RM 100.00 sebulan.”,
tambah En Isa.

Pelanggan tadi sedikit terdiam.

Saya memerhatikan dari meja sebelah.

”Saya percaya yang encik ada membuat simpanan di tempat lain. Jadi, jika encik menutup polisi ini encik akan mendapat kira-kira RM 400.00. Namun encik akan kehilangan RM 70,000.00 nilai perlindungan untuk kematin , lumpuh atau penyakit kritikal”, sambung En Isa.

Pelanggan tadi kelihatan mengangguk-angguk.

”Jadi, yang mana encik mahukan, RM 400 nilai tunai ini, atau RM 70,000.00 nilai perlindungan yang ada?”, tanya En Isa.

”Sudah tentu RM 70,000.00”, jawab pelanggan itu tanpa menunggu lama.

Akhirnya pelanggan tadi tidak jadi membatalkan kontrak polisi takafulnya.

Boleh kita jumpa depan-depan, supaya saya dapat kenal pasti pengurusan kewangan bersesuaian dengan diri anda?
Adakah tuan sudah terima emel kami?
Jika belum, mohon cek emel di folder spam
Ya, Sudah Dapat!