Membuat Perancangan Simpanan Pendidikan Anak

Membuat Perancangan Simpanan Pendidikan Anak
www.afyan.com

educationduit

“Apakah instrumen terbaik untuk membuat simpanan pendidikan anak saya?” soalan begini begitu rutin kepada saya selaku seorang perunding takaful dan kewangan Islam.

Sebenarnya jawapan bagi soalan di atas sudah terkandung di dalam soalan tersebut!

Jawapannya ialah simpanan.

Ya, instrumen terbaik untuk membuat simpanan pendidikan anak adalah SIMPANAN!

Mungkin jawapan saya ini diskredit kepada saya selaku wakil takaful. Dan mungkin ada ejen unit amanah yang akan marah-marah kepada saya sekiranya saya katakan bahawa instrumen unit amanah (unit trust) bukanlah instrumen yang paling sesuai untuk membuat simpanan pendidikan.

(Nota: Saya juga adalah seorang ejen unit amanah yang berdaftar, tetapi tidak menjualnya)

Namun, hakikatnya ialah simpanan ialah simpanan.

Takaful ialah perlindungan. Takaful bukan simpanan, atau pelaburan.

Manakala unit amanah (unit trust) adalah pelaburan. Unit amanah bukan simpanan!

Kenal Pasti Instrumen Kewangan Anda

Saya pernah menyentuh perkara ini di dalam; Jangan Gunakan Kapak Untuk Memotong Sayur!.

Lebih detail lagi, saya juga ada menerangkan tentang konsep pengurusan kewangan menggunakan 7 langkah di dalam tulisan bertajuk 7 Langkah: Asas Pengurusan Kewangan, dan Modul Piramid Pengurusan Kewangan.

Lihat kembali ke Cashflow Piramid yang saya nyatakan itu, perhatikan kepada tiga langkah; SIMPANAN, PERLINDUNGAN dan PELABURAN.

Kombinasi ketiga-tiga elemen ini boleh digunakan untuk merancang pendidikan anak-anak.

Merancang Pendidikan Anak

Sebelum pergi lebih jauh lagi, dalam merancang pendidikan untuk anak-anak, ada beberapa langkah yang perlu dilakukan.

Pertama; Letakkan sasaran tempoh masa.

Kedua; Letakkan matlamat jumlah simpanan yang diperlukan.

Ketiga; Jumlah simpanan yang disasarkan pada langkah ketiga, dibahagi dengan tempoh masa pada langkah pertama.

Contoh;

Pertama; Letakkan sasaran tempoh masa.

Untuk langkah ini, kira berapakah lama lagi tempoh yang kita ada untuk membuat perancangan. Jika anak kita berusia 6 tahun, sudah tentu berbeza tempohnya jika anak kita yang baru lahir.

Katakanlah umur anak kita setahun dan kita jangkakan dia akan masuk universiti pada usia 18 tahun. Maka tempoh yang ada adalah selama 17 tahun.

Kedua; Letakkan matlamat jumlah simpanan yang diperlukan.

Seeloknya mulakan dengan anggaran kos perbelanjaan yuran pengajian universiti sekarang dan anggaran untuk 17 tahun akan datang.

Katakanlah kos pengajian undang-undang bagi universiti tempatan adalah kira-kira RM 40K, dan anggaran 17 tahun akan datang adalah 80K. Ia adalah anggaran kasar berdasarkan trend inflasi semasa.

Anggaran RM 80K ini adalah untuk perbelanjaan yuran universiti sahaja, tanpa mengira perbelanjaan lain seperti makanan, buku, pengangkutan, penginapan dan sebagainya.

Ketiga; Jumlah kos pada langkah ketiga, dibahagi dengan tempoh masa pada langkah pertama.

RM 80K dibahagikan dengan tempoh 17 tahun. Kita akan mendapat jawapan: RM 4706.00.

Maka, untuk mendapat jumlah simpanan bulanan yang perlu dilakukan, jumlah RM 4706.00 dibahagikan pula dengan 12 bulan.

Kita akan mendapat jawapan RM 277.00.

Maka, untuk mengumpulkan jumlah SIMPANAN pendidikan sebanyak RM 80,000.00 bagi anak kita yang berusia setahun pada usianya 18 tahun, kita perlu membuat simpanan rutin sebanyak RM 277 sebulan selama 17 tahun bermula daripada sekarang.

Ingat, ini untuk seorang anak. Bagaimana sekiranya saudara merancang untuk mendapat 5 orang anak?

Mungkin bersambung… 🙂

Bisnes, Takaful dan …

Kalau boleh saya tidak mahu melakukanya.

Memang saya tidak sempat. Malah kalau diikutkan, sudah lebih sebulan pihak ejensi meminta saya menyiapkannya.

Ini adalah tahun ketiga saya membuatnya, bermula pada 2007. Ketika itu saya masih lagi masih lagi menerima tempahan bisnes printing yang saya lakukan semenjak 2003 lagi.

Asalnya ketika mula-mula saya menjadi perunding takaful pada 2003, saya memperkenalkan juga bisnes percetakan ini. Lalu saya mendapat tempahan-tempahan daripada rakan-rakan perunding lain untuk mencetak bahan-bahan promosi seperti bisnes kad, banner, banting, iklan dan sebagainya.

Namun, apabila bisnes takaful saya semakin berkembang sedikit demi sedikit maka saya mengambil keputusan untuk melakukannya secara sepenuh masa pada 2007.

Memandangkan saya ingin memberi fokus sepenuhnya kepada takaful, saya mula meninggalkan bisnes percetakan sedikit demi sedikit. Jika ada permintaan, saya akan memberi kepada bekas rakan kongsi saya di dalam bisnes tersebut.

Namun, permintaan ini tidak mampu untuk saya tolak. Permintaan daripada ejensi serta rakan-rakan perunding, menyebabkan saya tidak sampai hati menolaknya.

Sebenarnya kerja-kerja grafik dan membuat artwork, memerlukan ketelitian dan kereativiti yang tinggi dan ia terlalu subjektif untuk menilai hasilnya. Memandangkan sudah agak lama saya meninggalkan bidang kreativiti ini, saya terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk menyudahkan kerja yang semudah ini suatu ketika dahulu.

Lalu, inilah hasilnya yang tidak seberapa, Kad Raya Takaful IKHLAS…

Artwork Penuh

Pandangan Hadapan

Pandangan Belakang

Pandangan Dalam

Jika ada sesiapa yang ingin menempahnya, sila isikan borang di sini.

Oh ya, harganya RM 70 sen sahaja 🙂

Seni Menghadapi Pelanggan


Saya memperlajari ilmu ini secara ”live” daripada Ketua Ejensi saya, En Isa Sabitan.

Seorang pelanggan takaful kawan saya ingin membatalkan polisi takafulnya.

Dia ingin menutup polisi takafulnya, dan mengambil nilai tunai yang ada daripada polisi takafulnya itu.

Beliau menemui ketua ejansi saya, En Isa yang kebetulan berada di dalam pejabat kami pada waktu itu. Saya berada di meja sebelah ketika itu.

“Saya ada sedikit masalah kewangan. Jadi saya ingin membuat pengeluaran polisi takaful saya sekaligus menutupnya” kata pelanggan tersebut, sambil menunjukkan polisi takafulnya.

En Isa membelek-belek polisi tersebut dan membuat anggaran wang yang yang bakal diterimanya.

”Jika encik tutup polisi ini, encik akan dapat kira-kira RM 400.00”, kata En Isa.

”Oh, begitu”, kata pelanggan tadi.

Beliau telah membuat caruman sebanyak RM 100 sebulan selama kira-kira setahun lebih.

”Kenapa sedikit sahaja ye?”, tanya beliau ingin mendapatkan kepastian.

”Wang caruman encik telah digunakan untuk operasi syarikat bagi memberi perlindungan kepada peserta-peserta takaful yang ditimpa musibah”, jelas En Isa satu persatu.

”Tapi saya sudah membuat caruman sebanyak lebih daripada RM 1000”, tanya pelanggan itu lagi..

”Ya, betul. Jika encik membuat simpanan di dalam bank, encik akan dapat jumlah yang sama dengan encik simpan, iaitu kira-kira RM 1200.00 selepas membuat simpanan selama setahun dengan kadar RM 100.00”, kata En Isa.

”Tetapi, di takaful, dengan jumlah caruman sebanyak itu, encik memiliki perlindungan sebanyak RM 70,000.00 apabila encik mencarum sebanyak RM 100.00 sebulan.”,
tambah En Isa.

Pelanggan tadi sedikit terdiam.

Saya memerhatikan dari meja sebelah.

”Saya percaya yang encik ada membuat simpanan di tempat lain. Jadi, jika encik menutup polisi ini encik akan mendapat kira-kira RM 400.00. Namun encik akan kehilangan RM 70,000.00 nilai perlindungan untuk kematin , lumpuh atau penyakit kritikal”, sambung En Isa.

Pelanggan tadi kelihatan mengangguk-angguk.

”Jadi, yang mana encik mahukan, RM 400 nilai tunai ini, atau RM 70,000.00 nilai perlindungan yang ada?”, tanya En Isa.

”Sudah tentu RM 70,000.00”, jawab pelanggan itu tanpa menunggu lama.

Akhirnya pelanggan tadi tidak jadi membatalkan kontrak polisi takafulnya.

Takaful X, Takaful Y dan Takaful Z? Peninglah!

”Kenapa banyak sangat syarikat takaful?”

”Eh, bukankah Syarikat X adalah syarikat insurans konvesional. Bagaimana syarikat tersebut ada produk takaful?”

”Afyan, awak ejen Takaful Ikhlas, bukan? Sama ke dengan Takaful Ikhlas dengan Takaful Y”?

“Takaful Z? Eh, ada juga syarikat Takaful Z??? Tidak pernah pula saya dengar”

Akhir-akhir ini, saya agak kerap diajukan oleh para pengunjung blog www.afyan.com serta para pelanggan saya tentang kekeliruan mereka terhadap produk dan syarikat takaful yang agak banyak di pasaran.

Malah ada yang terperanjat besar apabila saya katakan yang sekarang ini ada kira-kira 10 syarikat takaful beroperasi di Malaysia! Terkejut yang betul-betul terkejut seakan-akan tidak percaya.

“Kenapa? Tidak percaya”, tanya saya dengan meniru skrip dan gaya iklan BCB suatu ketika dahulu. 🙂

Ya, ia merupakan cabaran bagi perunding-perunding takaful sedia ada seperti saya yang masih kerdil dalam industri ini. Malah, apabila syarikat-syarikat insurans konvesioanl gergasi turut terjun ke lautan ini, sedikit sebanyak ia menggugat ikan-ikan kecil seperti saya.

Berbalik kepada persoalan yang selalu ditanyakan kepada saya tentang pertambahan syarikat-syarikat takaful di Malaysia, saya mengganggap ia adalah satu kelebihan. Ya, kelebihan untuk pengguna.

Bagi pengguna, ia adalah satu kelebihan apabila setiap syarikat menawarkan produk yang terbaik untuk para pelanggan mereka. Justeru, para pengguna akan mendapat pilihan yang terbaik bagi mereka.

Saya selalu umpamakan situasi ini dengan makanan dan restoran. Saya menggunakan analogi dengan makanan ini untuk memudahkan membuat perbandingn kerana ia adalah rutin setiap manusia. Tambahan pula halal dan haram bukan setakat pada makanan sahaja.

Sebelum ini saya juga pernah menggunakan analogi makanan bagi menerangkan perbezaan di antara takaful dan insurans konvesional di dalam tulisan saya; Takaful vs Insurans (dan yong-tau-fu): Bukan Sekadar Beza Nama.

Jadi, untuk menerangkan situasi persoalan yang dikemukakan di awal tulisan ini, sekali lagi saya menggunakan analogi makan. Tambahan pula saya bukanlah orang yang selayaknya untuk mengulas isu ini dengan hujah Quran dan hadith.

Kita nisbahkan syarikat-syarikat takaful ini dengan restoran-restoran. Setiap restoran dimiliki oleh pemilik yang berbeza, tukang masak berbeza dan menyediakan makanan yang berbeza.

Restoran mamak dengan masakan karinya, restoran makanan laut dengan kelebihan tomyamnya, manakala restoran selera timur pula dengan nasi dagang dan nasi kerabunya. Tetapi kesemuanya menawarkan produk dan tujuan yang sama, iaitu makanan.

Begitulah juga analogi dengan persoalan awal tadi. Setiap syarikat takaful dimiliki oleh pemegang-pemegang saham berbeza dan menwarkan produk-produk takaful yang berbeza. Kesemuanya menawarkan produk yang sama iaitu produk perlindungan berasaskan syarak, iaitu takaful.

Mudah bukan analogi ini? Saya tidak mampu untuk menggunakan dalil al-Quran dan Hadith kerana ia di luar kepakaran saya. Saya hanya ulama mi celup 🙂

Berkenaan dengan syarikat konvesional yang turut mendapat lesen takaful adalah seperti restoran-restoran atau makanan-makanan produk orang bukan islam atau daripada luar negara yang mendapat pensijilan halal daripada JAKIM seperti McDonald,Kentucky Fried Chicken, Starbucks, Yoe’s, Nestle dan sebagainya.

Dari segi syarak, kesemuanya telah mendapat Logo Halal JAKIM. Begitu juga syarikat-syarikat takaful tadi, kesemuanya mendapat kelulusan dairapada Bank Negara dan memiliki Majlis Pengawasaan Syariah masing-masing.

Cuma tentulah berbeza makan makanan halal yang diperbuat daripada orang bukan Islam dengan makanan halal yang diperbuat daripada orang Islam sendiri sekalipun kedua-duanya tetap halal.

Kali ini saya ingin berkongsi sebuah artikel daripada seorang sahabat, Ustaz Termizi Mohd Din, seorang Pegawai Jabatan Pematuhan Syariah di sebuah syarikat takaful.

Beliau menulis tajuk “Mempromosikan Takaful Dan Insurans Secara Bersama” di dalam blognya http://www.termizidin.wordpress.com.

Arikel ini menjawab beberapa persoalan yang hampir sama secara lebih detil berpandukan hujah al-Quran dan Hadith.

Di sana tiada analogi-analogi makanan dan restoran seperti di sini 🙂

Jadi, tunggu apa lagi. Sila lawati;

Boleh kita jumpa depan-depan, supaya saya dapat kenal pasti pengurusan kewangan bersesuaian dengan diri anda?
Adakah tuan sudah terima emel kami?
Jika belum, mohon cek emel di folder spam
Ya, Sudah Dapat!