20 Ciri Perbankan Islam Idaman Semua. No 20 Sangat Digemari.

IMG_2063.JPG

Ini ialah Islamic banking idaman saya:

1. 100% pinjaman tanpa “riba”. Pinjam RM100,000, bayar balik RM100,000 sahaja selepas 20 tahun ansuran. Tak boleh lebih walau 1 sen kerana ia adalah riba walaupun atas nama apa sekalipun.

2. Mesti berteraskan emas dan perak. Jangan guna wang fiat kerana semua ini adalah agenda Yanudi, Zionis, Rostchild. Semua ini agenda kafir untuk menjatuhkan ekonomi umat Islam.

3. Jangan guna rule 76, BLR, BFR, FRB atau sebarang sistem dan kiraan yang menggambarkan ia dari sistem kapitalis kerana semua itu adalah riba. 

4. Internet banking mesti tip top, dan tak pernah down. Minta TAC hari ni, semalam dah dapat. 25 jam sehari, 8 jam sehari, 400 hari setahun tanpa gagal atau down walau seminit. Jika tidak ia ialah zalim. 

5. Pegawai bank mesti alim dan warak, pakai jubah dan kopiah. Semua muslimat mestilah bertudung labuh menutup aurat. 

6. Pusat panggilan pelanggan mesti jawab panggilan dalam masa 3 kali bunyi deringan. 

7. Mesin ATM ada di semua stesen petrol, semua restoran, setiap taman perumahan, setiap ceruk kampung. Islamic banking for All. 

8. Cawangan bank pun mesti ada di setiap taman dan ceruk kampung. Baru dakwah meluas. 

9. Kalau hendak buat pinjaman, tak perlu semak CTOS, CRIS. Semua ini zalim dan menindas. Perbankan Islam untuk semua. 

10. Penasihat Syariah pakai Kereta Proton Saga. Barulah menepati syariah. Jika pakai Merc, BMW adalah tak zuhud dan zalim. 

11. Pegawai bank tak perlu gaji mahal. Bukankah kerja adalah ibadah. Kalau gaji banyak sangat nanti zalim. 

12. Kos guaman, SNP dan sebagainya ditanggung bank. Peguam panel patutnya berikan khidmat percuma kerana ia adalah sumbangan utk Islam. Kalau bayar lebih nanti zalim. 

13. Kalau pelanggan lewat bayar, jangan diambil sebarang tindakan kerana ia menindas dan menzalimi pelanggan. Itu riba.

14. Kalau pelanggan tidak mahu bayar balik hutang, lebih baik bank halalkan kerana bank akan mendapat pahala. 

15. Pinjaman diberikan automatik tanpa perlu memohon sebaik sahaja setiap rakyat ‘aqil baligh. 

16. Pemegang saham bank Islam tidak perlu mengharapkan keuntungan daripada modal yang dilaburkan. Cukup sekadar dengan mengharapkan redha Allah dan pahala di akhirat kelak. 

17. Memperkenalkan produk baru berteraskan perniagaan emas ETA dan manipulasi emas dengan pulangan 100% setiap bulan. Umat Islam Malaysia akan lebih maju berbanding negara dan bangsa lain. Isu patuh syariah boleh diambil ringan di sini kerana ada khilaf tentang jual beli emas ansuran. 

18. Ar Rahnu pula berikan pinjaman 100% atas harga emas dan tidak perlu upah simpan. Ia akan memudahkan proses produk baru ETA dan manipulasi tadi. 

19. Sediakan skim pembiayaan perkahwinan, dapat anak, beli kereta, beli rumah tanpa sebarang “riba”, upah, caj, keuntungan dsb, walau satu sen. Kalau bagi percuma lagi bagus. Contohnya, sesiapa yang berkahwin diberi RM10,000, dapat anak RM1,000. 

20. Semua dokumen, perjanjian, fail, kertas, mesin ATM, malah bangunan bank perlu dibacakan 30 juzuk Al-Quran untuk menambah berkat. 

*Jika ada cadangan “impian” tambahan, boleh berikan komen.

Afyan Mat Rawi, Gombak.

#iniadalahsarkastik

Riba, 10 sen dan Kewangan Islam

1) Riba dan penindasan

Riba tidak semestinya membebankan.

Ada riba yang tidak membebankan, contohnya:

Saya meminjam RM100,000 dalam masa 10 tahun dan perlu bayar balik RM100,001

Ada lebihan RM1 yang perlu dibayar ke atas pinjaman RM100,000 tadi.

Adakah RM1 itu membebankan?

Sudah tentu RM1 penambahan dalam masa 10 tahun tidak membebankan.

RM1 ke atas RM100,000 itu adalah lebihan yang dipanggil sebagai riba.

Dan riba tetap haram sekalipun tidak membebankan.

Walaupun 10 sen atau 1 sen.

 

2) 10 sen

Dengan modal 10 ke 20 sen, peniaga air boleh jual air bungkus dengan harga RM1 ke RM1.

Modal 10 – 20 sen, untung sehingga 90 sen ke RM1.80!

Bukan setakan untung 100%, malah sehingga 2000!

Ini ialah keuntungan dari transaksi jual beli, bukan riba.

Ia halal walaupun keuntungan 90% dari jualan, atau untung 9 kali ganda lipat dari harga kos.

Tapi kalau pinjam RM1 dan bayar balik RM1.10, ia adalah keuntungan riba walaupun hanya 10 sen.

 

3) Perbankan Islam

SITUASI:

Saya ingin membeli sekilo emas dengan harga RM130,000 tapi saya tiada tunai yang cukup.

Tapi saya hanya mempunyai RM10,000 dan baki RM120,000 saya mampu jelaskan secara ansuran RM10,000 setiap bulan

ISU:

Jika saya lakukan urusniaga emas secara ansuran sebegitu rupa, dikhuatiri ia jatuh kepada RIBA berdasarkan pendapat-pendapat para ilmuan silam dan kontemporari.

Dosa RIBA umpama berPERANG dengan ALLAH dan saya tidak berani-berani untuk terjebak ke dalamnya.

SOLUSI:

Saya boleh berhutang RM120,000 dengan pihak lain dan kemudian gunakan duit itu dan duit saya RM10,000 untuk membeli sekilo emas berharga RM130,000 secara tunai.

Jadi saya tidak terjebak dalam RIBA dan dalam masa sama masih berhutang RM120,000 dan membayar secara ansuran RM10,000 setiap bulan kepada pemiutang tadi.

KESIMPULAN

Dalam situasi dan isu ini, kewangan patuh syariah datang memberi solusi bagaimana saya boleh berhutang tanpa terlibat riba.

Kewangan patuh syariah memberi kemudahan berhutang secara patuh syariah bukan memberi kemudahan berhutang dengan lebih rendah daripada kewangan konvensional.

Isu sama perbankan Islam hari ini, ia bukan datang untuk memudahkan orang berhutang, menjual rumah dengan harga yang murah, menjual kereta dengan harga yang rendah.

Ia datang untuk menyelamatkan umat Islam dari terjebak dengan RIBA. Ia datang sebagai fardhu kifayah supaya umat Islam dapat mengelakkan diri dari berPERANG dengan ALLAH.

 

Emas, Riba dan Khilaf

EMAS, RIBA DAN KHILAF

MAZHAB ZAHIRI: MAZHAB MINORITI

Mazhab Zahiri diasaskan oleh Imam  Dawud az-Zahiri. Ia merupakan salah satu mazhab minoriti dan sebahagian daripada ahlussunnah waljamaah. 

Dikenali sebagai az-Zahiri kerana beliau mengambil ayat-ayat Quran dan Hadith secara zahir. 

Walaupun pendapat-pendapatnya agak berbeza dan dilihat agak aneh, beliau diiktiraf sebagai sebahagian daripada ASWJ oleh imam-imam mazhab yang lain kerana kelayakan dan kemampuan beliau berijtihad pada zamannya. 

Malah beliau juga merupakan anak murid kepada Imam As-Syafie dan Imam Hambali. 

Kali pertama saya belajar tentang mazhab beliau secara tidak langsung adalah ketika di sekolah menengah dan kemudian belajar dalam beberapa subjek fiqh di UIA, antaranya melalui kitab “Al-Wajiz Fi Usul Fiqh” yang dikarang oleh Dr Abdul Karim Zaidan.

Dalam kitab ini, Dr Abdul Karim Zaidan membahaskan usul fiqh dan contoh-contoh isu fiqh beserta pandangan dan pendapat ulama fiqh, dan antara yang disentuh ialah pendapat mazhab Zahiri ini. 

BABI PUN ADA KHILAF?

Antara pendapat beliau yang dilihat aneh dan berbeza dengan pendapat jumhur yang lain ialah tentang isu pengharaman babi. Dalam hal ini beliau berbeza dengan jumhur apabila mengharuskan lemak babi kerana dalam ayat Quran yang zahir ialah pengharaman daging babi. 

Jumhur menolak kerana daging babi yang dimaksudkan Allah termasuk juga  lemak babi, hati babi, limpa babi dan segala yang berkaitan dengan babi haram dimakan. 

Berbeza dengan mazhab Zahiri, hanya berpendapat bahawa hanya daging babi sahaja yang haram dengan merujuk ayat Allah yang bermaksud;

“Diharamkan ke atas kamu akan bangkai, darah dan daging babi…”. (Surah al-Maidah : 3)”

INI KHILAF, JADI BOLEH PILIH (?)

Isu utama yang ingin saya sentuh ialah isu khilaf kerana akhir-akhir ini ada yang menggunakan hujah; “ulama khilaf dalam hal ini maka kita boleh memilih mana-mana pendapat”. 

Benarkah begitu cara pendekatan yang sepatutnya kita ambil? Ya, jika kita adalah orang yang berilmu dan mengkaji tentang fiqh dan usul fiqh. 

Cuba bayangkan jika di Malaysia ada kelompok yang mengambil hujah ini untuk mengharuskan makan lemak babi kerana ada pendapat khilaf?

Saya berani jamin, tiada siapa yang sanggup memilih pendapat Imam Zahiri dalam bab pengharaman babi. 

ANTARA BABI DAN RIBA

Cuba kita tukar “babi” kepada “riba”. 

Jumhur menolak urusniaga jual beli emas secara ansuran kerana riba. Malah di Malaysia pun rata-rata ilmuan dalam bidang fiqh muamalat berpendapat   bahawa urusniaga emas bukan barang kemas secara ansuran adalah riba. 

Tapi ramai juga peniaga-peniaga emas yang memberi alasan “ini khilaf” untuk mengharuskan urusniaga emas secara ansuran. 

Tapi tiada pula para ilmuan di Malaysia yang boleh dijadikan rujukan yang mengharuskan jual beli emas bukan barang kemas secara ansuran.

SOLUSI

Memandangkan sudah ramai ilmuan yang mengutarakan isu urusniaga emas secara ansuran ini adalah riba, amat wajar sekiranya para peniaga untuk membuat rujukan kepada ilmuan-ilmuan ini supaya tidak terjebak dalam riba. 

Para ilmuan fiqh muamalat tidak semestinya mereka yang terlibat dalam bidang kewangan dan perbankan. Malah boleh juga para mufti, para pensyarah dan para pendakwah yang ada di serata Malaysia. 

Boleh rujuk mereka dan lantik mereka untuk sebagai penasihat syariah syarikat-syarikat yang terlibat dalam urusniaga emas agar tidak terjebak dalam riba. 

Ini merupakan salah satu solusi yang lebih baik daripada menggunakan hujah “ini adalah khilaf”. 

Afyan Mat Rawi, IFP

Boleh kita jumpa depan-depan, supaya saya dapat kenal pasti pengurusan kewangan bersesuaian dengan diri anda?
Adakah tuan sudah terima emel kami?
Jika belum, mohon cek emel di folder spam
Ya, Sudah Dapat!