Tip Jika Terlibat Kemalangan dan Membuat Tuntutan Takaful / Insurans (Bahagian 2)

Ini adalah sambungan tajuk yang sama, bahagian 1: http://afyan.com/ver1/?p=858, yang menerangkan tentang tip dan panduan sebelum berlakunya kemalangan, iaitu ketika mengambil polisi takaful.

Ini pula adalah tip dan panduan ketika kemalangan berlaku, di tempat kejadian.

  1. Pertama sekali, jangan panik
  2. Kedua pun jangan panik.
    Kerana situasi ini akan menyebabkan kita menggelabah dan membuat tindakan yang tidak sewajarnya.
  3. Jika melibatkan pihak lain, elakkan berbincang (baca: bergaduh) tentang topik-topik seperti: “Salah Siapa”, “Aku Tidak Bersalah”, “Kamulah Puncanya!”, “Bukan Salah Ibu Mengandung” dan sebagainya.
    Sebenarnya pergaduhan perbincangan tersebut tidak akan membuahkan hasil kepada kedua-dua belah pihak, malah mengusutkan keadaan. Sebaiknya saling memberi kerjasama bak kata Wonder Pet, “Apa yang penting? Kerjasama!!”.
  4. Sekiranya melibatkan kemalangan jiwa atau kecederaan fizikal, hubungi 999 dengan segera untuk mendapatkan ambulan.
    Sila simpan nombor 999 ini, walaupun saranan ini lucu kedengarannya. Sekiranya panik, nombor semudah 123 pun sukar untuk diingati.
  5. Ambil maklumat semua yang terlibat di dalam kemalangan.
    Maklumat-maklumat seperti nombor kenderaan, nama pemilik, nombor telefon amat membantu untuk memudahkan untuk ke membuat tuntutan. Juga maklumat tentang syarikat takaful / insurans masing-masing. Beri kerjasama kepada rakan-rakan baru tuan-tuan di tempat kemalangan. Ingat kembali pesanan Wonder Pet!
  6. Buat lakaran kasar tentang lokasi tempat kejadian dan lokasi kenderaan sebelum dan selepas kemalangan.
    Jika ada kamera adalah lebih baik. Itulah gunanya kamera di telefon tuan-tuan. Sekali lagi pesanan Wonder Pet digunakan di sini bagi memudahkan proses selanjutnya. Beri kerjasama kepada semua yang terlibat untuk mengambil gambar.
  7. Ketika ini, akan tibalah lori-lori tunda yang “menawarkan” janji-janji manis kepada tuan-tuan, sebaiknya elakkanlah.
    Pernah seorang pelanggan saya, akibat terlalu panik, menerima “janji manis” tersebut sekalipun pernah diberitahu jangan berbuat demikian ketika mengambil polisi. Selepas kereta tersebut diperoleh kembali, didapati beberapa bahagian yang ditukar dengan “spare part” palsu. Saya mengesyaki ia ditukar untuk mengaut keuntungan kerana kebetulan kereta tersebut kereta baru. Apabila ditanyakan kepada bengkel, katanya ia diterima dalam keadaan tersebut daripada pihak lain iaitu lori tunda. Dalam keadaan ini agak sukar untuk mencari pihak lori tunda kerana mereka menjalankan secara “freelance” dan bukan bengkel panel.
  8. Sebaiknya hubungi syarikat takaful / insurans untuk mendapatkan lori tunda daripada bengkel yang bertauliah.
    Di peringkat ini, kerjasama daripada ejen / wakil takaful amat diperlukan untuk melicinkan proses.
  9. Kemudian, laporkan kejadian tersebut kepada pihak polis dalam tempoh 24 jam.
    Pastikan balai polis tersebut adalah balai polis yang “menjaga” kawasan di mana berlakunya kemalangan tersebut. Saya sendiri pernah mengalaminya sendiri, kejadian berlaku di lebuh raya. Selepas keluar daripada exit, saya dapatkan balai polis terdekat daripada exit tersebut. Rupa-rupanya balai tersebut tidak boleh menerima laporan kerana tidak “menjaga” kawasan tempat saya kemalangan.
  10. Laporkan juga kemalangan tersebut kepada pihak syarikat takaful sekalipun tidak berniat untuk membuat tuntutan.
    Ia bagi memudahkan proses tuntutan sekiranya ada selepas itu.


Bersambung lagi
…. entri akan datang;
– Tip dan panduan selepas kemalangan,
– Panduan membuat tuntutan,
– Tip ekstra: membuat laporan polis.

eksiden7
Bolehkah kita membuat tuntutan takaful pihak ketiga daripada lembu sebagaimana gambar di atas? nantikan jawapannya di dalam entri akan datang di www.afyan.com!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

About afyan

AFYAN MAT RAWI adalah seorang perancang kewangan bertauliah Islamic Financial Planner (IFP). Beliau juga adalah Pengurus Agensi di Takaful IKHLAS Sdn Bhd. Karier beliau selaku perunding takaful dan perancang kewangan peribadi bermula sebaik sahaja beliau bergelar graduan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Undang-undang (LL.B), pada tahun 2003. Dalam masa sama, beliau merupakan trainer dalam bidang perancangan harta dan kewangan peribadi.