Pelaburan Pertama – ILMU

Pelaburan Pertama | ILMU

“Sesiapa yang mahukan dunia, mestilah dengan ilmu, sesiapa yang mahukan akhirat juga hendaklah dengan ilmu, dan sesiapa yang mahukan kedua-duanya maka hendaklah dengan ilmu. ” – Ali bin Abi Talib

“An investment in knowledge pays the best interest.” – Benjamin Franklin

Pengalaman saya bertemu pelanggan atau memberi penerangan pengurusan kewangan, apabila topik pelaburan disentuh, soalan yang akan pasti ditanya ialah; “Apakah pelaburan yang paling bagus?”

Sejujurnya, soalan tersebut sebenarnya tiada jawapan khusus kerana setiap jenis pelaburan ada kelebihan tersendiri.

Ia umpama soalan; “Apakah makanan yang paling sedap?”

Jika ada jawapan, maka jawapannya ialah “pelaburan ilmu”.

PELABURAN ILMU

Memulakan pelaburan dengan melabur dalam menuntut ilmu, boleh meminumkan risiko kerugian kerana dalam mana-mana pelaburan tidak dapat tidak lari daripada risiko dan ia akan seiring dengan keuntungan dan kerugian.

Sebagai contoh, sebelum membuat pelaburan dalam hartanah, perlu pelajari selok belok hartanah yang bakal dilaburkan. Ia ada beberapa cara pelaburan hartanah seperti beli dan jual, atau beli dan sewa. Setiap satu ada strategi, teknik dan guru tersendiri. Orang yang pakar dalam strategi pelaburan gaya beli dan sewa tidak semestinya pakar dalam pelaburan beli dan jual.

Begitu juga dalam strategi pelaburan dalam pasaran saham. Ada analisa fundemantal, ada analisa teknikal dan setiap satunya ada matlamat dan cara berbeza.

Orang yang biasa membuat untung dengan pasaran saham, belum tentu mampu lakukannya dalam pelaburan hartanah.

Pelaburan hartanah dan pelaburan saham di atas hanya sekadar contoh.

ILMU, GURU DAN HARGANYA

Dalam setiap pelaburan, ada “guru” tertentu yang boleh dijadikan panduan dan rujukan.
Sudah tentu dalam mendapatkan ilmu tersebut daripada pakar atau guru, ada “harga” yang perlu dibayar.

Ia mungkin;

– serendah “percuma” daripada artikel, blog atau ebook percuma, atau

– buku-buku tulisan pakar yg harganya sekitar puluhan ringgit, atau

– mungkin juga yuran kursus dan seminar sekitar puluhan atau ratusan ringgit,

– malah mungkin juga ia setinggi ribuan ringgit sehingga 4 atau 5 angka untuk personal coaching dan mentoring.

Keempat-empat jenis pembelajaran di atas, saya berpengalaman mengikutinya.

Segala-galanya untuk mendapatkan ilmu daripada sang guru. Sebagaimana sekolah atau universiti, ada yuran pengajian yang perlu dibayar.

Pengalaman saya, yang percuma kebanyakannya kurang berkualiti dan kita jarang hargai ilmu percuma.

PENGALAMAN; ILMU PERCUMA DENGAN HARGA YANG TINGGI

Pengalaman merupakan guru yang paling berkesan.

Pengalaman atau “street smart” yang digabungkan dengan guru pembelajaran formal atau “street smart” sudah tentu menghasilkan impak keuntungan yang berganda.

Pengalaman adalah proses menuntut ilmu yang percuma namun dengan harga yang sangat mahal!

Kerana, pembelajaran melalui pengalaman ini memungkinkan kesilapan. Kesilapan yang seterusnya menjadikan kerugian ini juga ada “harga” yang perlu dibayar!

Saya pernah menerima mesej daripada seorang pelabur (tidak perlu saya nyatakan pelaburan apa kerana ia akan menimbulkan sentimen terhadap industri pelaburan berkenaan) yang mengadu tentang pelaburannya yang sedang mengalami kerugian.

Saya tanyakan, mengapa beliau membuat pelaburan tersebut, responnya daripada pengaruh rakan.
Soalan seterusnya saya tanyakan ialah ilmu pelaburan yang dipelajarinya dari siapa, katanya dari syarikat yang menawarkan pelaburan berkenaan secara percuma.

Akhir sekali saya katakan kepadanya anggap sahaja pengalaman ini adalah “kelas pelaburan” yang disediakan dari langit, dan kerugian yang dialaminya pula ialah yuran pembelajaran yang dia perlu bayar.

Ya, ilmu daripada kelas pengalaman yang cukup mahal harganya. Silibus pengajiannya adalah; jangan pisang berbuah dua kali!

Leave a Reply