Saya Pelanggan Yang Baik! Episod 1

Catatan ini dipetik daripada diari seorang pelanggan tanpa nama.

Saya seorang pelanggan yang baik. Ya betul, saya seorang pelanggan yang memang baik.

Saya masuk ke sebuah restoran. Tanpa ada sebarang pelawaan untuk duduk, saya mengambil tempat di kerusi salah sebuah meja makan. Saya memerhatikan sekeliling restoran, yang kelihatan hanya ada seorang pelanggan di restoran yang sama. Di kaunter kelihatan ‘tauke’ sedang mengira-ngira duit, mungkin mengira untung pada hari berkenaan. Di hujung restoran bersebelahan dapur, dua orang pelayan sedang berborak sesama mereka. Saya memerhatikan menu di dinding restoran yang agak jauh daripada meja saya kemudian meminta pelayan tadi mengambilkan menu yang lebih mudah saya rujuk. Kelihatan seperti saya mengganggu ‘tugasan’ mereka, salah seorang pelayan tadi datang ke meja saya meletakkan menu restoran di atas meja saya. Saya mengambil dan membacanya. Kemudian saya memanggil pelayan yang tidak sempat menyambung ‘tugasan’ mereka, dan memesan makanan untuk disediakan. Sambil menunggu pesanan saya disiapkan, kelihatan seorang pelanggan dating dan terus memesan makanan daripada pelayan restoran. Masa terus berlalu, nampaknya pelanggan tadi lebih bernasib baik kerana makanannya lebih terdahulu siap daripada pesanan saya. Oh, mungkin makanannya biasa-biasa sahaja sehinggakan lebih cepat disiapkan daripada masakan saya. Tidak lama kemudian makanan saya pun tiba. Nampaknya pelayan tersebut tersilap (saya tak pasti sama ada pelayan atau tukang masak yang silap), dan saya terus makan memandangkan saya mempunyai urusan lain. Selepas selesai makan saya terus membuat bayaran. Tidak mengapa, saya pelanggan yang baik…

(bersambung…)

1 thought on “Saya Pelanggan Yang Baik! Episod 1”

Leave a Reply