Biar Miskin Harta, Jangan Kaya Hutang

Syyyy…. ini cerita benar. Jangan ceritakan kepada orang-orang yang suka berhutang seperti peminat-peminat skim bayaran mudah, pengguna obses kad kredit, penggila aksesori kereta dan sebagainya. – afyan

Saya mengenali seorang lelaki yang berusia awal 40-an yang hidupnya tidak pernah berhutang. Dia hanya bekerja sebagai seorang eksekutif biasa di sebuah syarikat swasta, telah berkahwin dengan 5 orang anak dan tinggal di sebuah rumah sewa 3 bilik. Sepanjang hidupnya dia tidak pernah berhutang. Malah, beliau cukup takut untuk berhutang.

Pada usia mudanya beliau hanya memiliki sebuah motosikal. Keretanya pertamanya dibeli setelah berdikit-dikit mengumpul duit selama 5 tahun bekerja. Apabila keluarganya bertambah besar, ketika umurnya pertengahan 30-an, beliau menjual kereta pertamanya itu dan duit jualan kereta tersebut dengan ditambah dengan wang simpanan selepas itu, dia membeli kereta terpakai yang lebih luas dengan bayaran tunai! Terkejut besar tauke kereta terpakai apabila beliau datang dengan wang tunai RM 20,000.00!

Beliau tidak perlu berfikir untuk membayar ansuran kereta setiap bulan, tidak akan menerima surat-surat hutang daripada bank, dan tidak perlu risau akan panggilan-panggilan telefon daripada pegawai bank untuk meminta bayaran ansuran sekiranya ada bayaran tertunggak. Beliau selesa hidup tanpa hutang. Tidaklah teruk sangat hidup tanpa hutang. Tidaklah sehingga hidup merempat tanpa rumah, atau meminta sedekah mengharap simpati orang lain.

Beliau mempunyai keluarga sebagaimana orang lain. Beliau bahagia bersama isteri dan anak-anaknya. Sekalipun tidak berhutang, beliau tidaklah hidup merempat tanpa rumah. Beliau masih mampu tinggal di sebuah rumah sewa. Untuk memiliki rumah sendiri, sekarang dia sedang berkira-kira untuk membeli sebidang tanah di pinggir kota untuk didirikan rumah secara berdikit-dikit.

Tentunya untuk mencari manusia jenis ini pada zaman sekarang amat payah sekali. Kategori manusia jenis ini sememangnya hampir pupus lantaran sikap dan tabiat suka berhutang ini semakin menjadi trend. Rata-rata lebih suka secara “biar papa asal bergaya”, berbanding “biar miskin harta, jangan kaya hutang”.

2 thoughts on “Biar Miskin Harta, Jangan Kaya Hutang”

  1. teringin juga nak hidup macamtu tapi apakan daya. sekarang ni semua kena hutang kalau nak sesuatu terutamanya nak beli rumah, kereta dan lain-lain tu.
    yang penting jangan melampau sgt jer hutangnya….
    nanti jadinya along yang kejar “kami bukan ajer nak tolong tapi juga nak potong leher”
    😉

    Reply
  2. Berhutang tidak salah, tetapi hutang yang menjadi liabiliti itu salah. Hampir semua orang paling kaya mempunyai hutang, tetapi keuntungan daripada hutang melebihi pembayaran hutang. Dalam erti kata lain, mereka mempunyai ‘good debt’, bukannya ‘bad debt’ mcm kebanyakan kita. Hutang rumah sendiri, kereta sendiri, perabot sendiri dan hutang utk diri sendiri, yang menyebabkan duit keluar dari poket; adalah bad debt.

    Hutang ialah alat yang sungguh berkuasa. ia boleh menjadikan seseorang itu semakin berjaya dalam bisnes, dan juga ia boleh merosakkan pengurusan kewangan seseorang. jadi, apa yg penting ialah- miliki kemahiran CELIKWANG; cashflow, financial statement dan milllionaire mindset.

    Hutang seperti pistol. ia sungguh berguna. tetapi sebagus mana pun pistol tersebut, ia masih alat yang berisiko. ia masih alat yang perlu dikendalikan dengan penuh berhati-hati. nanti tertembak diri sendiri, atau mungkin anak-anak.

    Reply

Leave a Reply