Emas, Riba dan Khilaf

EMAS, RIBA DAN KHILAF

MAZHAB ZAHIRI: MAZHAB MINORITI

Mazhab Zahiri diasaskan oleh Imam  Dawud az-Zahiri. Ia merupakan salah satu mazhab minoriti dan sebahagian daripada ahlussunnah waljamaah. 

Dikenali sebagai az-Zahiri kerana beliau mengambil ayat-ayat Quran dan Hadith secara zahir. 

Walaupun pendapat-pendapatnya agak berbeza dan dilihat agak aneh, beliau diiktiraf sebagai sebahagian daripada ASWJ oleh imam-imam mazhab yang lain kerana kelayakan dan kemampuan beliau berijtihad pada zamannya. 

Malah beliau juga merupakan anak murid kepada Imam As-Syafie dan Imam Hambali. 

Kali pertama saya belajar tentang mazhab beliau secara tidak langsung adalah ketika di sekolah menengah dan kemudian belajar dalam beberapa subjek fiqh di UIA, antaranya melalui kitab “Al-Wajiz Fi Usul Fiqh” yang dikarang oleh Dr Abdul Karim Zaidan.

Dalam kitab ini, Dr Abdul Karim Zaidan membahaskan usul fiqh dan contoh-contoh isu fiqh beserta pandangan dan pendapat ulama fiqh, dan antara yang disentuh ialah pendapat mazhab Zahiri ini. 

BABI PUN ADA KHILAF?

Antara pendapat beliau yang dilihat aneh dan berbeza dengan pendapat jumhur yang lain ialah tentang isu pengharaman babi. Dalam hal ini beliau berbeza dengan jumhur apabila mengharuskan lemak babi kerana dalam ayat Quran yang zahir ialah pengharaman daging babi. 

Jumhur menolak kerana daging babi yang dimaksudkan Allah termasuk juga  lemak babi, hati babi, limpa babi dan segala yang berkaitan dengan babi haram dimakan. 

Berbeza dengan mazhab Zahiri, hanya berpendapat bahawa hanya daging babi sahaja yang haram dengan merujuk ayat Allah yang bermaksud;

“Diharamkan ke atas kamu akan bangkai, darah dan daging babi…”. (Surah al-Maidah : 3)”

INI KHILAF, JADI BOLEH PILIH (?)

Isu utama yang ingin saya sentuh ialah isu khilaf kerana akhir-akhir ini ada yang menggunakan hujah; “ulama khilaf dalam hal ini maka kita boleh memilih mana-mana pendapat”. 

Benarkah begitu cara pendekatan yang sepatutnya kita ambil? Ya, jika kita adalah orang yang berilmu dan mengkaji tentang fiqh dan usul fiqh. 

Cuba bayangkan jika di Malaysia ada kelompok yang mengambil hujah ini untuk mengharuskan makan lemak babi kerana ada pendapat khilaf?

Saya berani jamin, tiada siapa yang sanggup memilih pendapat Imam Zahiri dalam bab pengharaman babi. 

ANTARA BABI DAN RIBA

Cuba kita tukar “babi” kepada “riba”. 

Jumhur menolak urusniaga jual beli emas secara ansuran kerana riba. Malah di Malaysia pun rata-rata ilmuan dalam bidang fiqh muamalat berpendapat   bahawa urusniaga emas bukan barang kemas secara ansuran adalah riba. 

Tapi ramai juga peniaga-peniaga emas yang memberi alasan “ini khilaf” untuk mengharuskan urusniaga emas secara ansuran. 

Tapi tiada pula para ilmuan di Malaysia yang boleh dijadikan rujukan yang mengharuskan jual beli emas bukan barang kemas secara ansuran.

SOLUSI

Memandangkan sudah ramai ilmuan yang mengutarakan isu urusniaga emas secara ansuran ini adalah riba, amat wajar sekiranya para peniaga untuk membuat rujukan kepada ilmuan-ilmuan ini supaya tidak terjebak dalam riba. 

Para ilmuan fiqh muamalat tidak semestinya mereka yang terlibat dalam bidang kewangan dan perbankan. Malah boleh juga para mufti, para pensyarah dan para pendakwah yang ada di serata Malaysia. 

Boleh rujuk mereka dan lantik mereka untuk sebagai penasihat syariah syarikat-syarikat yang terlibat dalam urusniaga emas agar tidak terjebak dalam riba. 

Ini merupakan salah satu solusi yang lebih baik daripada menggunakan hujah “ini adalah khilaf”. 

Afyan Mat Rawi, IFP

Leave a Reply