Memilih “Ubat” Yang Sesuai

“Afyan, awak masih dengan takaful?”, tanya seorang rakan selepas tamat satu program. Saya jarang-jarang sekali bertemunya.

“Ya,” jawab saya ringkas.

“Saya ingin mengambil takaful untuk anak saya yang baru lahir”, katanya.

“Oh, awak sudah dapat anak? Tahniah!” kata saya sambil menghulurkan tangan kepadanya, dan tersenyum.

Tersenyum kerana Allah mengurniakannya cahaya mata.

Tersenyum kerana Allah menggerakkan hatinya untuk menyertai takaful.

Tersenyum kerana Allah membuka pintu rezeki-Nya kepada saya apabila Dia menggerakkan hati kawan saya untuk memilih saya untuk mengambil polisi takaful.

“Awak ingin mengambil takaful untuk anak awak?”, tanya saya untuk mendapat kepastian.

“Ya, takaful pendidikan”, katanya penuh yakin.

“Awak sendiri sudah memiliki polisi takaful?”, tanya saya lagak seorang doktor yang menganalisis pesakitnya terlebih dahulu sebelum memberikan “ubat” yang sesuai.

“Errr… belum lagi.”, jawabnya.

“Jika begitu, awak perlu mengambil polisi takaful untuk diri awak terlebih dahulu sebelum perkara yang sama dilakukan ke atas anak awak”, kata saya, mencadangkan “ubat” yang sesuai kepadanya.

“Kenapa perlu begitu? Saya ingin mengambil polisi takaful pendidikan untuk anak saya untuk menjamin simpanannya ke universiti sekiranya berlaku musibah ke atas saya”, katanya menolak “ubat” yang saya cadangkan.

Daripada kata-katanya, saya mengagak dia memiliki sedikit sebanyak pengetahuan tentang takaful pendidikan sebelum mendatangi saya.


PADAH MENGAMBIL UBAT YANG SILAP

Kadang-kadang saya menghadapi situasi begini; iaitu seorang ayah yang tidak memiliki sebarang polisi takaful, bersungguh-sungguh ingin mengambil polisi takaful untuk anaknya.

Pernah saya dikhabarkan sebuah cerita tentang seorang lelaki meninggal dunia, meninggalkan balu dan beberapa orang anak. Lelaki tersebut pernah mengambil polisi insurans ketika hayatnya, tetapi polisi yang diambilnya adalah polisi insurans pendidikan untuk anaknya.

Sekali imbas, seolah-olah tiada masalah yang timbul kerana beliau telah mengambil polisi insurans. Sebenarnya di sinilah masalah telah timbul kerana polisi yang diambilnya adalah polisi untuk anak-anaknya bukan untuk dirinya sendiri.

Rata-rata plan insurans dan takaful pendidikan lebih menumpukan perlindungan yang berbentuk “manfaat pengecualian caruman pembayar”. Manfaat ini bermaksud; apabila pembayar polisi iaitu ayah atau ibu ditimpa musibah (sakit kritikal, lumpuh atau meninggal dunia), caruman bulanan yang sepatutnya dibayar akan dikecualikan.

Maka dalam cerita di atas, manfaat yang diperolehi oleh keluarga si mati hanyalah manfaat pengecualian caruman sahaja! Sekiranya dia memiliki 3 orang anak (saya tidak ingat jumlah sebenar anak si mati), dengan polisi insurans dengan caruman RM 100 seorang, bermakna caruman berjumlah RM 300 untuk ketiga-tiga polisi akan dikecualikan.

Walhal, dengan caruman berjumlah RM 300 sekiranya dia ambil untuk dirinya sendiri, keluarga tersebut layak menerima pampasan kematian sekurang-kurang RM 150,000, malah lebih daripada itu sekiranya dia mengambil ketika muda lagi. Lebih malang lagi, anak-anaknya kesemuanya masih bersekolah rendah dan tempoh matangnya masih jauh.

Dalam hal ini, kesalahan tidak patut diletakkan ke atas bahu beliau, kerana beliau menerima nasihat daripada seorang ejen. Di dalam kes ini, beliau telah mengambil “ubat” yang salah. Salah dia yang membeli “ubat” atau salah doktor yang memberi “ubat”? Wallahua’lam…

FIRST THING FIRST

Di dalam satu keluarga, suami atau ayah adalah orang yang pertama perlu dilindungi takaful, kerana dia merupakan “breadwinner” di dalam keluarga.

(Nota: Tolong jangan terjemahkan “breadwinner” kepada bahasa Melayu. Ia bukan bermaksud pemenang roti atau apa-apa jenama roti)

“Breadwinner” merujuk kepada orang yang bertanggungjawab memberi nafkah untuk keluarga. Apabila sesuatu musibah berlaku ke atas diri “breadwinner” ini, maka ia akan menjejaskan pendapatan dan perbelanjaan seisi keluarga.

Dalam sesebuah keluarga, “breadwinner” ini selalunya suami atau ayah. Dalam zaman sekarang, suami dan isteri selalunya bekerjasama menyediakan pendapatan dan perbelanjaan keluarga.

Jadi dalam situasi ini, suami menjadi orang yang pertama perlu dilindungi takaful, kemudian jatuh kepada isterinya pula. Selepas mengambil polisi untuk dirinya dan isteri dahulu, barulah keperluan takaful kepada anak-anak datang kemudian pada proioriti ke-3 selepas suami dan isteri. Itupun sekiranya, si suami memiliki seorang isteri, jika lebih keperluan takaful untuk anak-anak mungkin menjadi prioriti ke-6! ?

“Jadi, jika begitu saya ingin mengambil polisi untuk saya adan isteri sayalah”, kata kawan saya tadi selepas panjang lebar saya menerangkan kepadanya.

Alhamdulillah, Allah permudahkan rezeki saya.

7 thoughts on “Memilih “Ubat” Yang Sesuai”

  1. Saya bersetuju dengan pandangan penulis mengenai isu diatas. Saya sendiri mengalami pekara yang sama kerana kesedaran masayarakat tentang keupayaan takaful amat terhad. Oleh sebab itu saya sentiasa memberitahu 7 tip mendapatkan takaful mengikut keperluan supaya peserta menilai yang mana terlebih dahulu diambil.

    Reply

Leave a Reply