Poster-Mitos Takaful

“Takaful lebih baik daripada akaun bank sebab akaun bank hanya ada simpanan manakala takaful ada simpanan dan perlindungan”.

Puncanya apabila ejen mempromosi dengan membuat perbandingan tidak adil antara takaful dengan bank. Siap buat jadual perbandingan. Hakikatnya kedua-dua simpanan dan perlindungan takaful mempunyai fungsi dan tujuan berbeza.

“Medical card dengan simpanan (atau medical card rider) lebih baik daripada medical card stand alone”.

Selalunya ejen yang mempromosi begini ialah ejen yang hanya tahu satu jenis produk sahaja. Kedua-kedua ada kelebihan tersendiri.

“Kalau tak berlaku apa-apa, boleh dapat balik duit yang dicarum”.

Celah manalah duit bayaran sumbangan takaful boleh dapat balik? Ini juga rentetan daripada mitos pertama dan kedua. Yang ada hanyalah nilai tunai atau cash value. Ini adalah istilah yang lebih tepat (cash value atau nilai tunai) dan ia TIDAK ADA JAMINAN. Anggap sahaja ia tidak ada, dan kalau ada ia adalah bonus. Ini lebih menenangkan fikiran berbanding kita mengharapkan duit balik kalau tidak berlaku apa-apa musibah.

“Bayaran sumbangan medical card rider yang sekali dengan saving dan investment tidak akan meningkat sebagaimana medical card stand alone”.

Ini mitos yang cukup popular 6-7 tahun lepas apabila produk medical card takaful muncul dalam pasaran. Selepas 4-5 tahun, klien mula bising apabila menerima notis kenaikan harga. Ketahuilah, dalam sejarah medical card termasuk insurans konvensional, belum ada medical card yang tidak berlaku kenaikan harga. Jika ada boleh kongsikan di ruangan komen.

“Produk takaful yang mahal lebih baik daripada produk takaful yang murah”.

Ini satu lagi mitos sesetengah ejen dakyahkan. Produk takaful bukan macam beli barang seperti kereta, jam dan lain-lain. Ia berdasarkan keperluan kewangan. Yang penting ialah perlindungan dan bajet yang sesuai dengan keperluan.

“Pilih takaful yang ada brand”.

Kita langgan takaful sebab mahukan perlindungan. Jika kita meninggal dunia, waris tidak tanya apa brand takaful yang kita ambil, tapi waris akan tanya berapa coverage yang kita ambil, berapa mereka akan dapat.

“Membazir bayar takaful tapi tak berlaku apa-apa”.

Dalam dunia, hanya Firaun sahaja yang tak pernah sakit sampai dia mengaku Tuhan. Manusia biasa tidak akan lari daripada jatuh sakit. Dan yang pasti, akhirnya akan meninggal dunia.

Jadi, ambillah polisi takaful sampai umur 100. InsyaAllah sebelum umur 100 akan sempat claim dan boleh cover balik sumbangan selama ini. Tak percaya cuba kira.

“Sama sahaja takaful dengan insurans”.

Jika di kalangan orang awam, salah faham ini berpunca daripada kurangnya kesedaran kewangan Islam. Perbezaan yang paling nyata kedua-duanya ialah kontrak.

Namun ada juga sesetengah ejen yang mempromosi sedemikian. Selalunya dalam kalangan ejen insurans konvensional atau ejen takaful yang boleh mempromosikan takaful dan insurans konvensional serentak.

“Takaful penipu! Masa sign manis mulut, tapi masa claim susah bukan main”.

Tidak dinafikan memang terdapat kes-kes viral apabila pelanggan gagal membuat tuntutan terhadap polisi takaful. Banyak juga kes claim yang ditolak disebabkan penyakit sedia ada.

Jadi, dinasihatkan agar pelanggan memastikan maklumat yang betul didedahkan dalam borang takaful terutama bab kesihatan. Seterusnya membaca terma dan syarat polisi sebaik sahaja terima polisi. Pelanggan ada tempoh bertenang 14 hari untuk membuat semakan dan batalkan jika tidak berpuas hati.

 

“Syarikat takaful kapitalis, Yahudi, Israel, Zionis! Hanya terima pelanggan yang sihat sahaja. Sepatutnya bantulah orang yang sakit”.

Saudara, nama pun “syarikat takaful”. Syarikat takaful adalah entiti perniagaan dan bukan badan kebajikan. Memang model bisnes takaful adalah untuk memberi peluang kepada orang ramai menyertai plan takaful ketika sihat dan menerima bantuan kewangan apabila sakit atau ditimpa musibah.

Sebab, ada kiraannya yang dipanggil sebagai aktuari untuk membuat pengiraan risiko yang diuruskan oleh pihak syarikat takaful apabila sesuatu produk dilancarkan. Ada jangkaan peratusan tertentu yang akan claim. Jika syarikat takaful menerima orang sakit, alamatnya ia tidak akan bertahan lama sebab confirm 100% akan claim.

Kalaulah takaful boleh dibuka kepada semua orang tanpa kira faktor kesihatan, orang yang pertama akan langgan takaful ialah orang mati. Dapat claim terus lepas tandatangan borang takaful.

 

 “Ada syarikat takaful yang tak patuh syariah”

Semua syarikat takaful mempunyai penasihat syariah yang akan memantau produk-produk takaful sebelum dipasarkan. Pemantauan patuh syariah sekurang-kurangnya ada 3 peringkat; dari peringkat pegawai pematuhan syariah, kemudian penasihat syariah, seterusnya audit syariah daripada Bank Negara Malaysia. Jadi, semua syarikat takaful adalah patuh syariah.

1 thought on “Poster-Mitos Takaful”

Leave a Reply