Berapa Pendapatan Perunding / Ejen Takaful?

Ini adalah antara soalan yang paling popular ditanya ketika sesi “takaful oppurtunity preview” atau “bussiness preview”.

Jawapan saya “tiada gaji tetap, tapi potensi pendapatan yang lumayan dan kerjaya yang stabil”.

Ya, tiada gaji tetap utk perunding takaful.

Yang ada hanya komisen berterusan.

Jika bermula secara separuh masa, dengan 2 orang pelanggan sebulan yang membayar RM150 sebulan, perunding akan menerima RM100 sebagai komisen bulan pertama.

RM100 bulan pertama, ia satu jumlah yang sedikit, namun berpotensi menerima pendapatan meningkat RM100 setiap bulan apabila mendapat pelanggan baru setiap bulan.

Simulasi potensi pendapatan perunding takaful separuh masa; RM100 bulan pertama, dan meningkat kepada RM200 dalam bulan kedua, RM300 bulan seterusnya dan peningkatan RM100 setiap bulan, bayangkan potensi pendapatannya seterusnya?

Bulan pertama … RM100,
Bulan ke-2 … RM200,
Bulan ke-3 … RM300,
.
.
.

Bulan ke-11 … RM1100
Bulan ke-12 … RM1200,

Tahun pertama …. RM1200,
Tahun dua …. RM2400,
Tahun ketiga … RM3600,
.
.
.
Tahun ke-10 … RM12,000,
Tahun ke-20 … RM24,000.

Simulasi di atas hanyalah untuk separuh masa, dengan 2 orang pelanggan sahaja sebulan.

Bayangkan jika jumlah pelanggan lebih ramai dan komisen lebih tinggi?

Bagi perunding sepenuh masa, jumlah pelanggan sekurang-kurangnya 6 hingga 10 orang sebulan, malah mungkin lebih.

Tentu Sdra-Sdri boleh agak potensi pendapatan perunding takaful sepenuh masa.

Nota: Simulasi di atas hanyalah anggaran, dan berbeza-beza mengikut usaha dan hasilnya.

Antara kelebihan kerjaya sebagai perunding takaful / ejen takaful ialah;-

  • Kerja dengan waktu yang anjal – Sesuai untuk orang yang sukakan kebebasan masa, serta menumpukan kehidupan dan keluarga tanpa terikat waktu pejabat.
  • Berorientasikan bisnes – Minat dalam bisnes. Kerjaya ini merupakan cabang bisnes dan tidak memerlukan modal yang besar.
  • Pendapatan stabil dan prospek kerjaya yang luas – Kerjaya ini ini merupakan kerja sendiri dalam masa sama membina empayar bisnes dengan potensi pendapatan yang cerah.

Boleh PM saya atau isi borang di http://rahsiatakaful.com/peluang-kerjaya/

Nota: Sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang sahaja

Nota: Sekitar KL dan Lembah Klang sahaja.

Penama Takaful / Insurans: Jangan Letak Nama Anak!

Artikel ini turut disiarkan di Majalah Niaga, sebuah majalah keusahawanan online.

Ketika saya mula-mula menceburi kerjaya sebagai perunding takaful, dalam satu kursus yang saya hadiri, saya menerima satu maklumat yang agak mengejutkan;

Penama Polisi Takaful

”Kira-kira 80% suami  akan meletakkan nama isteri mereka sebagai penama polisi takaful mereka, namun hanya kira-kira 30% isteri meletakkan nama suami mereka sebagai penama,” kata pegawai latihan tersebut kepada para peserta.

Ia disambut dengan hilai tawa para peserta porgram. Baik lelaki mahupun wanita. Ada yang tersenyum-senyum, terutama wanita. Bagi peserta lelaki pula, nampak senyuman sinis di bibir mereka.

Saya pun agak sedikit terkejut dengan pendedahan tersebut.

Selepas beberapa tahun dan sehingga kini hampir sepuluh tahun saya berada di dalam industri ini, apabila diimbas sekali polisi rakan-rakan pelanggan saya sebelum, memang tidak dapat dinafikan kaum wanita akan cenderung untuk tidak meletakkan nama suami mereka sebagai penama takaful mereka.

Ya, kaum wanita yang sudah berkahwin lebih cenderung untuk meletakkan nama anak mereka sebagai penama berbanding lelaki.

Malah, sebenarnya perkara ini bukan saya berlaku di dalam memilih penama polisi takaful, ia juga melibatkan penama di dalam perkara-perkara lain. Sebagai contoh, penama Kumpulan Wang Simpanan Nasional (KWSP), selalunya wanita meletakkan nama ibu bapa mereka.

Berdasarkan maklumat yang saya perolehi, selalunya wanita akan meletakkan nama anak-anak mereka sebagai penama. Dalam kes KWSP pula, nama ibu selalunya diletakkan kerana selalunya mereka bekerja terlebih dahulu dan kemudian baru berkahwin. Selepas berkahwin, penama tersebut tidak diubah.

Isteri “Kurang” Percaya Kepada Suami?

Berdasarkan pengalaman saya berhadapan dengan pelanggan-pelanggan wanita, selalunya alasannya adalah kekhuatiran (baca: ketidakpercayaan) mereka terhadap suami mereka selepas mereka meninggal dunia nanti. Mereka khuatir suami mereka akan berkahwin lain menggunakan duit pampasan takaful mereka.

Suami Curang Kepada Isteri

Kekhuatiran bertambah lagi apabila mereka membayangkan selepas itu suami dengan isteri barunya akan mengabaikan anak-anak kandung mereka. Juga membayangkan yang isteri baru suaminya akan bertindak tidak sewajarnya kepada anak-anak mereka.

Mereka membayangkan isteri baru suami mereka a.k.a ibu tiri anak-anak mereka laksana Rika Sumanto di dalam drama Bawang Merah Bawang Putih. Atau seperti watak Sofia di dalam Puteri Aurora Beradu suatu ketika dahulu.

Ya, satu kekhuatiran yang berasas.

Saya tidak nafikan, kekhuatiran kaum hawa tersebut ada asasnya. Demi kasih sayang ibu kepada anak, kadang-kadang mengatasi kasih sayang isteri kepada suami sendiri.

Apabila ditanya kepada isteri saya pun, begitulah juga perasaannya. Apabila ditanyakan kepada ibu saya pun begitulah halnya.

Penama Hanya Pemegang Amanah, Bukan Penerima

Majlis Fatwa KebangsaanNamun, sebenarnya tindakan meletakkan nama anak sebagai penama tidak menyelesaikan masalah. Kerana, penama hanyalah bertindak sebagai wasi atau pemegang amanah. Penama bukanlah pemegang hak tersebut.

Ia sebenarnya telah diputuskan di dalam mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1978 lagi.

Fatwa tersebut berbunyi;

  1. Melantik penama (Nomination) oleh orang-orang Islam dalam mana-mana badan atau institusi di mana mereka menyimpan sebarang harta adalah tidak sah untuk diterima sebagai waris yang berhak menerima pusaka si mati cuma ia adalah sebagai yang melaksanakan wasiat untuk membahagikan harta pusaka tersebut kepada para waris mengikut hukum syarak.

  2. Bahawa orang-orang Islam tidak boleh melantik penama (Nominee) oleh kerana penama mengikut definisi undang-undang awam (sivil) adalah bertentangan dengan hukum syarak dan tidak sah.

  3. Oleh itu udang-undang awam (sivil) yang berkenaan hendaklah dipinda supaya sebarang penamaan (Nomination) oleh seseorang Islam menjadi tidak sah. Ini bermakna peruntukan mengenai Nomination atau perlantikan nominee tidak tertakluk kepada orang-orang yang beragama Islam sama ada sesuatu Nomination itu dibuat sebelum atau selepas fatwa ini dipersetujui oleh Raja-raja Melayu.

Secara umumnya, penama hanyalah bertindak sebagai pemegang amanah sahaja.

Penama hanyalah sebagai pemegang amanah bagi harta bagi si mati sama ada pampasan takaful/insurans, wang KWSP dan lain-lain. Penama tadi bertanggung jawab untuk mengagih-agihkan harta-harta tadi kepada pewaris si mati mengikut hukum faraid.

Apabila penama yang diletakkan adalah anak di bawah umur 18 tahun, ini akan menimbulkan masalah, kerana harta tersebut akan dibekukan sehinggalah anak tersebut mencapai usia 18 tahun.

Pernah terjadi satu kes, apabila seorang lelaki meninggal dunia dan meninggalkan seorang balu dan beberapa orang anak. Beruntung balu berkenaan kerana suaminya mengambil polisi takaful. Namun apabila dibuat tuntutan, didapati penama yang diletakkan adalah nama anak-anak mereka.

Maka, wang pampasan tersebut terpaksa dibekukan sehingga penama mencapai usia 18 tahun. Lebih malang lagi, anak sulung mereka baru mencecah usia sekolah rendah. Maka, balu tadi terpaksa menunggu kira-kira sepuluh tahun selepas itu untuk membuat tuntutan sepenuhnya terhadap harta peninggalan si mati.

Justeru, berhati-hati sekiranya Tuan-tuan  dan Puan-puan ingin meletakkan nama anak sebagai penama. Pastikan mereka sudah cukup umurnya 18 tahun.

Sebaiknya, letaklah nama orang yang kita terima ijab dan qabulnya sebagai pemegang amanah harta kita sesudah kita tiada.

Nota: Sekiranya tuan-puan masih mampu membaca tulisan ini, bermakna tuan-puan masih berpeluang untuk menukar nama penama tuan-puan sebelum tuan-puan pergi terlebih dahulu.

Haluan Yang Berbeza

(Artikel ini turut diterbitkan oleh MajalahNiaga.com)

“Assalamualaikum, Afyan…” sapa satu suara.

“Waalaikumsalam, Eh…”, satu wajah yang dikenali, tapi saya agak lupa namanya.

“Apa awak buat di sini?”, tanya beliau. Saya masih belum cam namanya.

 

“Jumpa klien”, jawab saya ringkas. Otak saya ligat mengimbas kawan-kawan ketika belajar dahulu.

“Wah, mesti banyak kes awak ye?”, tanya beliau lagi. Namanya masih belum menjengah ke pemikiran saya.

“Kes? Adalah sikit-sikit..”, saya dapat rasakan yang perkataan “kes” di dalam pemikiran beliau, tidak seperti perkataan”kes” yang saya maksudkan.

“Wah, awak dengan firma mana sekarang?”, tanyanya lagi.

Betul jangkaan saya. Dia ada satu tanggapan awal kepada saya yang tidak tepat. Kali ini saya baru teringat namanya. Seorang kenalan yang pernah sekelas ketika menuntut di universiti dahulu.

Kami sama-sama mengambil jurusan undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Kami tidaklah serapat mana dahulu.

“Hmm… sendiri”, saya tidak pasti sama ada jawapan saya menjawab soalannya.

“Oh, awak ada firma sendiri!?”, dia agak terkejut.

Saya hanya tersenyum. Tersenyum kerana dapat mengingati namanya. Tersenyum dengan ayat terakhir daripadanya. Tentu dia menyangka saya memiliki firma guaman sendiri.

“Awak tubuhkan firma lepas chambering-kah?”, betul tekaan saya. Dia menyangka saya memiliki firma guaman sendiri.

“Adalah…”, kata saya sambil tersenyum lagi. Sambil mengeluarkan dompet untuk mengambil bisnes kad. Lantas saya menunjukkan kad saya kepada beliau sambil menunggu reaksinya.

“Haaaaa…???!!!”, kaget sekali nampaknya kawan saya itu.

“Takaful??? Awak ejen takaful…???”, dahinya berkerut. Dia benar-benar terkejut. Melihat kad bisnes saya. Yang tertulis nama saya, dengan logo syarikat takaful dan di bawahnya tertera “perunding takaful”.

Dua kali dia tekejut. Kejutan pertama kerana disangkanya saya “memiliki firma guaman sendiri”.

Kejutan kedua, kerana “firma guaman” yang disangkanya, rupa-rupanya “firma takaful”!.

Lawyer Takaful

Tahun 2012 ini, masuk tahun ke lapan saya berkecimpung dalam bidang takaful, termasuk sebagai perunding sepenuh masa dari tahun 2009 hingga tahun 2011, separuh masa (2006 – 2008) dan tiada masa (2004-2006).

Menjadi Perunding Takaful

Tiada masa bermaksud saya hanya mendaftarkan diri sebagai wakil takaful tetapi tiada bisnes dijalankan. Oh!

Lebih tepat lagi, hampir lapan tahun saya bekerja sendiri atau self employ semenjak menamatkan pengajian ijazah pada Oktober 2003.

Di kalangan kawan-kawan, kadang-kadang ada yang menggelar saya dengan jolokan lawyertakaful. Saya tidak tersinggung dengan panggilan tersebut, kerana saya yang memilih jalan ini. Malah, ia secara tidak langsung menjadi bahan promosi.

Cuma kadang-kadang saya bimbang ia akan menyebabkan misleading orang lain apabila jolokan lawyer takaful memberi anggapan “seorang peguam yang menjalankan bisnes takaful”, atau “seorang pegawai undang-undang di syarikat takaful”.

Saya hanya belajar ilmu law, tetapi saya bukan lawyer. Saya hanya belajar undang-undang, tetapi saya bukan pengamal undang-undang.

(Nota: Seorang lulusan undang-undang hanya layak digelar peguam setelah di menamatkanchambering atau di dalam bahasa Melayu: latihan di dalam kamar. Jangan silap faham takrifan kamar di sini, ia bukan bermaksud bilik sebagaimana yang sedang saudara pembaca fikirkan. Ia merujuk kepada kamar mahkamah)

Kamus Kehidupan

Sepanjang belajar di Kuliah Undang-undang Ahmad Ibrahim, UIAM, banyak yang saya belajar. Saya belajar erti sebuah kehidupan. Bukan sekadar kuliah, tutorial, assignment, presentation, dan exam.

Kamus Kehidupan

Ilmu kehidupan saya perolehi melalui persatuan, jemaah, pilihanraya kampus, usrah, tamrin, mesyuarat dan sebagainya. Ia mematangkan saya.

Walaupun kadangkala terbabas dek kesuntukan masa untuk menyeimbangkan antara akademik dan persatuan, namun akhirnya saya bergelar graduan juga. Seperti rakan-rakan lain yang sama sekuliah dengan saya.

Alhamdulillah, dalam kekangan masa membahagikan antara akademik dengan persatuan, kelas dengan mesyuarat, tutorial dengan usrah, assignment dengan kertas kerja program,presentation dengan tamrin, pensyarah dengan naqib, akhirnya saya bergelar siswazah.

Siswazah undang-undang kelas kedua. Lebih baik sedikit daripada Karpal Singh, kalau tidak silap saya, beliau mendapat kelas ketiga :)

Frequently Asked Question (F.A.Q)

Kadang-kadang ada juga orang bertanya:

“Tidak menyesalkah menghabiskan masa kira-kira 6 tahun (termasuk matrikulasi), belajar undang-undang, tetapi akhirnya tidak mempraktiskan apa yang saya dipelajari?”.

Atau…

“Sia-sia awak belajar tinggi-tinggi, hendnak belajar undang-undang ni bukan senang. Kena hafal kes itu kes ini, akta itu akta ini, seksyen itu seksyen ini. Orang lain susah payah nak dapat degre LL.B, nak jadi lawyer, awak senang-senang sahaja sia-siakannya.”

Jawapan klise saya ringkas, “Oh ya, saya belajar erti kehidupan sepanjang berada di kampus dahulu”. Noktah.

Tidak dinafikan dalam tiga tahun pertama saya menongkah arus, soalan-soalan (baca: kritikan-kritikan) seperti di atas banyak menjengah ke telinga saya.

Lama-lama ia menjadi semakin kalih malah mungkin boleh dibukukan menjadi FAQ (Frequently Asked Question) untuk saya berikan kepada mereka yang bertanya.

Sebuah Pencarian

Semenjak dari pusat matrikulasi pada 1998, saya tidak pernah bercita-cita untuk menjadi peguam. Tetapi cita-cita lain yang ada kaitan dengan undang-undang masih di dalam perancangan saya.

Namun sepanjang pengajian, saya tidak sempat untuk memikirkan perancangan selepas grad, akibat disibukkan dengan aktiviti “kampus kehidupan”.

Hanyalah pada tahun akhir pengajian, saya memikirkan perancangan selepas grad. Sebenarnya sudah agak lewat pada usia 22 tahun untuk memikirkan hala tuju selepas grad.

Saya tercari-cari arah tuju saya selepas grad serta tercari-cari bakal pasangan hidup saya. Ya, pada tahun akhir, dengan dua pencarian.

Sedang dalam pencarian cari diperkenalkan sebuah buku tulisan Robert Kiyosaki, “Rich Dad Poor Dad”. Seorang rakan yang memperkenalkan saya buku tersebut.

Ternyata buku tersebut mengubah persepsi saya tentang kehidupan bekerjaya. Saya kira pencarian saya sudah berakhir.

Menyongsong Arus

Saya betul-betul terpengaruh dengan tulisan Robert Kiyosaki.

Robert Kiyosaki - Rich Dad Poor Dad

Ia membawa satu pandangan terbalik: belajar bersungguh-sungguh, masuk universiti, kemudian selepas grad: jadi usahawan. 

Berbanding dengan pandangan biasa: belajar bersungguh-sungguh, masuk universiti, kemudian selepas grad: jadi chambering dan menjadi peguam, atau menjadi pegawai PTD atau paling tidak memohon KPLI atau JQAF.

Akibat terpengaruh dengan saranan inilah saya melawan arus, konon-konon ingin menjadi usahawan.

Aduh, memang penat kerja melawan arus ini. Di kala orang lain selepas grad menulis resume, saya merangkak-rangkak menulis business plan. Ketika orang lain menghadiri temu duga kerja, saya terhegeh-hegeh ditemuduga klien.

Ketika orang lain membelek akhbar mencari kerja kosong, saya membelek akhbar mencari peluang berniaga. Ketika orang lain hujung bulan mendapat gaji bulanan, saya belum tentu…

Itulah padahnya belajar daripada buku semata-mata (padan muka saya!).

Dari 6 Bisnes Menjadi Satu

Daripada bisnes kad pra-bayar, percetakan, membekal bahan bantu mengajar, konsultan latihan, menjual bunga, menjual dadih, hinggalah yang saya komited sehingga hari ini; bisnes takaful.

Takaful Ikhlas

Pengalaman-pengalaman seperti jualan tidak laku, dimarahi pegawai keselamatan kerana tidak mempunyai lesen (ketika menjual bunga waktu konvokesyen), mengutip hutang lapuk, modal RM1,000 untung RM10, dan pelbagai lagi, betul-betul membuat saya hampir serik.

Mujurlah pembelajaran di “kampus kehidupan” mengajar saya erti tabah, jika tidak, tentu saya sekarang seorang peguam.

Dan ternyata bisnes dan kerjaya sebagai perunding takaful benar-benar mencabar minda, emosi, jasmani malah  rohani. Mana tidaknya, bisnes ini merupakan bisnes yang paling banyak penolakan atau rejection berbanding bisnes-bisnes lain di muka bumi ini.

Daripada sepuluh panggilan telefon yang dibuat, hanya lima sahaja yang sudi untuk menerima untuk diadakan temujanji. Daripada sepuluh temujanji, mungkin lima orang sahaja yang  menepatinya.

Daripada sepuluh orang yang ditemui, selalunya tiga sahaja yang menjadi pelanggan. Mujurlah pembelajaran di “kampus kehidupan” mengajar saya erti tabah, jika tidak, tentu saya sekarang seorang peguam.

Apapun, pelayaran ini masih jauh. Sekarang ini mungkin hanya suku palayaran hidup yang sudah saya tempuhi. Banyak lagi liku pelayaran hidup yang bakal menjengah tiba.

Saya tidak mampu untuk mengawal angin yang bertiup atau badai yang melanda dalam arus yang saya tempuhi ini, namun saya boleh mengawal arah layar dan dayungan kapal yang saya naiki.

Alhamdulillah, nasib saya tidaklah seteruk KassimSelamat.  :)

Remake: Ibu Mertuaku 2012

(Tulisan ini turut diterbitkan oleh MajalahNiaga.com)

“Kassim Selamat???? Siapa Kassim Selamat??” jerkah Nyonya Mansor.

Sabariah teresak-esak.

“Siapa Kassim Selamat? Lawyer? Majistret?” jerkahnya lagi apabila melihat anak perempuan tunggalnya hanya menangis.

”Ejen takaful,” jawab Sabariah di dalam sendunya. Masih teresak-esak. Dia langsung tidak menyangka ibunya Nyonya Mansor memarahinya sebegitu rupa, apabila percintaannya dengan Kassim Selamat sampai ke pengetahuan Nyonya Mansor.

“Apa??? Ejen takaful ??!!!” terperanjat besar Nyonya Mansor.

“Pantang nenek moyang aku berkahwin dengan ejen takaful!” jerit Nyonya Mansor kepada Sabariah.

“Tetapi mak…” Sabariah merintih.

“Tidak ada tetapi-tetapi. Sekarang engkau pilih, sama ada engkau kahwin dengan lelaki yang aku suka atau Kassim Selamat?” Nyonya Mansor memberikan kata dua.

Tanpa menjawab, Sabariah memeluk gambar potret Kassim Selamat yang birainya telah retak dihempas oleh ibunya.

Fahamlah Nyonya Mansor akan jawapan yang diberikan oleh Sabariah.

Lantas Nyonya Mansor memanggil pemandunya, “Lekas kau bawa Kassim Selamat kepada aku sekarang juga.”

Penghinaan Dalam Pernikahan

Tiba sahaja di rumah Sabariah, Tok Kadi telah sedia menunggu kehadirannya.

“Mana satu Kassim Selamat?”, tanya Nyonya Mansor dengan mata yang bulat, hampir terangkat kaca matanya.

“Saya Kassim Selamat”, jawab Kassim Selamat.

“Oh, kamu rupanya Kassim Selamat”, ternyata Nyonya Mansor mengenali Kassim Selamat yang pernah mendatanginya untuk mempromosi takaful melalui anaknya, Sabariah.

tok kadi

Namun tidak sangka lansung yang mereka berdua mempunyai hubungan.

“Bagus. Tok Kadi, nikahkan mereka”, arah Nyonya Mansor.

Maka Tok Kadi pun menjalankan tugasnya. Dengan sekali lafaz, kini Kassim Selamat dan Sabariah sah menjadi suami isteri, dengan disaksikan oleh sanak saudara Nyonya Mansor.

“Nah, ambil pakaian kau dan ini wang di dalam ini beg. Mulai hari ini, engkau bukan lagi keturunan aku!,“ kata Nyonya Mansor sambil mencampakkan sebiji beg pakaian dengan sepucuk sampul surat berisi wang RM50,000.00.

Semangat Pejuang yang Jelas Matlamatnya

“Aku akan buktikan suatu hari nanti”, getus hati Kassim Selamat, mengenangkan penghinaan ibu Sabariah terhadapnya.

Dia kini sah sebagai suami kepada Sabariah, gadis yang dikenalinya sejak setahun yang lalu. Semenjak kali pertama Kassim bertemu dengan Sabariah ketika di kampus dahulu, dia sudah terpikat dengan perwatakan Sabariah.

Sabariah juga merupakan antara pelanggan pertamanya yang mengambil polisi takaful dengan Kassim, ketika dia mula-mula menjadi ejen takaful.

“Tiket bang?” sapa pemeriksa tiket keretapi mematikan lamunannya.

tiket kereta api

Lantas Kassim menunjukkan 2 keping tiket yang dibelinya tadi.

Sabariah masih terlena di bahunya. Gadis yang dulunya hidup di dalam kemewahan, kini dibuang oleh ibunya sendiri.

Kassim Selamat tahu, tindakannya menyimpang arus setelah tamat belajar dalam bidang undang-undang dahulu sememangnya penuh onak dan cabaran.

Tambahan pula, memilih untuk menjadi ejen takaful yang dikatakan tidak sesuai langsung untuk graduan undang-undang sepertinya.

“Apa kau gila Kassim??!!! Sia-sia engkau belajar empat tahun, campur dua tahun di pusat matrikulasi, semua sekali enam tahun. Buang masa engkau sahaja”, masih ingat lagi kata-kata Nasir, sahabat baik Kassim ketika di universiti dahulu apabila Kassim mengutarakan perancangannya pada hari terakhir peperiksaan.

Namun, ia tidak mematahkan semangat Kassim. Sabariah juga pada awalnya menegah kemahuannya.

“Abang, Sabariah rasa abang sesuai untuk menjadi peguam. Abang petah berkata-kata.”, pujuk Sabariah ketika mula-mula Kassim Selamat membayangkan yang dia tidak akan meneruskan bidang guaman untuk kerjayanya.

Namun, semua itu Kassim anggap sebagai cabaran.

Sabariah betul-betul kecewa dengan hasrat kekasihnya untuk meninggalkan bidang guaman yang sama-sama mereka pelajari. Sabariah yang setahun lebih muda daripadanya telah puas memujuk dan merayu Kassim Selamat supaya melupakan cita-citanya untuk menjadi usahawan takaful.

Namun sia-sia.

bertabah

Bulan pertama menjadi ejen takaful dahulu, Sabariah merupakan orang pertama yang mengisi borang takaful menjadi pelanggan Kassim Selamat. Orang kedua adalah Nyonya Mansor, ibu Sabariah.

Namun, ibu Sabariah tidak peduli sangat tentang takaful ketika diberitahu oleh Sabariah tentang kepentingan takaful. Ketika itu, yang menguruskan segalanya adalah Sabariah. Nyonya Mansor hanya mengeluarkan cek untuk penyertaan takaful tersebut.

Hanya sekali Nyonya Mansor berjumpa dengan Kassim Selamat, itupun hanya untuk menandatangani borang takaful yang disertainya. Selebihnya diserahkan kepada Sabariah.

Yang tidak diketahui Nyonya Mansor, polisi tersebut bernilai lebih RM500,000.000 dengan premium bulanan kira-kira RM2,000.00. Caruman tersebut agak tinggi kerana usia Nyonya Manor yang sudah berumur.

Semuanya dilakukan demi untuk memberikan sokongan kepada Kassim Selamat. Untung Kassim Selamat mendapat pelanggan yang sebegitu.

Kini, dengan azam dan semangat yang berkobar-kobar, Kassim Selamat nekad membawa dirnya dan isteri ke tempat orang. Keretapi terus membelah malam dan Kassim terlena bersama deru enjin keretapi…

Si Ibu Di Dada Akhbar

Lima tahun berlalu..

“Abang, minum air ni”, lunak suara Sabariah mematikan tumpuannya terhadap berita yang dibacanya di dada akhbar.

“Terima kasih,” jawab Kassim, mesra, sambil membetul tempat duduknya.

“Apa berita hari ni bang?” tanya Sabariah.

surat khabar

“Biasalah, tiada apa yang menarik” jawab Kassim.

Tiba-tiba Kassim kaget. Gambar seorang wanita tua yang betul-betul dikenalinya. Lebih-lebih lagi kacamata wanita tua itu yang masih tidak berubah semenjak lima tahun dahulu kali terakhir dia melihatnya.

“Sabariah, cuba lihat ni”, kata Kassim sambil menunjukkan berita bertajuk “Wanita Hidap Penyakit Misteri Perlukan Bantuan Kewangan”.

“Emak…!”, terperanjat besar Sabariah.

Dari Zero Menjadi Hero Takaful

Kini mereka kembali. Kembali dengan sebuah kereta mewah, keluaran terbaru.

Sampai sahaja dalam rumah, Nyonya Mansor dilihat terbaring lesu di ruang tamu. Berbeza dengan lima tahun dahulu, ruang tamu yang dulunya penuh dengan perabot, kini kosong. Hampir kosong.

Lantas Sabariah meluru ke arah ibunya sambil menangis teresak-esak.

“Kassim”, terpacul suara dari mulut Nyonya Mansor.

 

“Ampunkan mak Kassim, mak dah tua”, rintih Nyonya Mansor.

Melalui pembantu rumah yang dikenalinya semenjak kecil, Sabariah mendapat tahu Nyonya Mansor telah lima bulan menghidap penyakit misteri. Ketika mula-mula menghidapinya dahulu, Dr. Ismadi, sepupu Sabariah yang pernah menaruh hati kepada Sabariah meminta sejumlah wang yang besar untuk memulihkannya.

Namun, selepas habis digadai kereta, harta benda dan tanah milik Nyonya Mansor, Dr. Ismadi hilang tanpa berita. Mujurlah rumah tempat Nyonya Mansor berteduh tidak sempat diusik.

Barang-barang perabot di rumah itu habis dijual untuk menampung pembiayaan setiap hari. Dengar khabarnya, Dr. Ismadi sebenarnya tidak puas hati tindakan Nyonya Mansor menikahkan Sabariah dengan Kassim Selamat.

Nyonya Mansor dan RM100,000

“Abang, macam mana tuntutan polisi takaful mak itu?”, tanya Sabariah apabila Kassim Selamat pulang dari pejabat takaful.

“Alhamdulillah, selesai”, jawab Kasssim Selamat tersenyum.

Mujurlah polisi takaful yang pernah diambil oleh Nyonya Mansor dahulu masih berkuat kuasa. Walaupun duit di dalam akaun bank Nyonya Mansor sudah tidak cukup untuk menampung pembayaran polisi berkenaan, namun nilai tunai polisi berkenaan yang tinggi dibayar secara automatik kepada syarikat takaful.

rm50

Itulah kelebihan yang ada pada takaful berbanding isnurans konvensional.

Dengan polisi tersebut, Kassim Selamat menjalankan tugasnya sebagai ejen takafulmerangkap menantu kepada Nyonya Mansor, membuat tuntutan terhadap perlindungan penyakit kritikal yang terkandung di dalam polisi takaful tersebut.

Setelah permohonannya diproses, syarikat takaful mengesahkan bahawa penyakit yang dialami Nyonya Mansor merupakan salah satu daripada 40 penyakit yang dilindungi oleh takaful.

Maka, tuntutan sebanyak RM100,000.00 telah diluluskan oleh syarikat takaful. Dengan wang RM100,000.00 tersebut, Sabariah membawa ibunya untuk menjalankan rawatan di luar negara.

5 Nota Penting Mengenai Takaful

Kini hidup mereka sekeluarga bertambah bahagia.

Nynya Mansor menerima kembali Sabariah dan suaminya.

#1 – Caruman Bulanan

Polisi yang diambil oleh Nyonya Mansor yang berjumlah RM2,000.00 dengan jumlah perlindungan RM500,000.00 adalah disebabkan usia Nyonya Mansor yang sudah tua, kira-kira 53 tahun.

Jika jumlah perlindungan yang sama dicadangkan untuk peserta takaful yang berusia sekitar 20-an, caruman bulanan yang dikenakan hanyalah RM200.00 hingga RM350.00. Bergantung kepada pelan.

#2 -Potensi Pendapatan Kassim Selamat

Kassim Selamat seorang yang rajin bekerja. Selama beberapa tahun sahaja dia mampu memakai kereta mewah dengan pendapatannya sebagai ejen takaful.


Dengan mendapat peserta sebanyak 10 orang sebulan dengan purata caruman RM200.00, Kassim Selamat berjaya mendapat pendapatan lebih daripada RM20,000.00 sebulan setelah menceburi bidang ini secara aktif selama lima tahun.

#3 – Nilai Tunai Polisi

Walaupun duit di dalam akaun bank Nyonya Mansor sudah tidak cukup untuk menampung pembayaran polisi berkenaan, namun nilai tunai polisi berkenaan yang tinggi dibayar secara automatik kepada syarikat takaful.

Nilai tunai polisi tersebut terkumpul setelah beberapa tahun Nyonya Mansor mencarum di dalam polisi berkenaan.

Setelah kira-kira lima tahun Nyonya Mansor menyertai pelan takaful tersebut, nilai tunai polisi Nyonya Mansor adalah kira-kira RM80,000.00, dan ia cukup untuk menampung kira-kira tiga  hingga empat tahun pembayaran polisi berkenaan sekalipun Nyonya Mansor sudah tidak membayarnya lagi!

#4 – Hak Untuk Pampasan Takaful

Kalau mengikut versi asal “Ibu Mertuaku”, di pertengahan cerita, Kassim Selamat menjadi buta akibat terlalu banyak menangis. Sebenarnya, jika dia mengambil polisi takaful, dia boleh menuntut pampasan akibat buta tersebut.

Manakala di akhir cerita Kassim Selamat menjadi buta selepas dia mencucuh matanya dengan garfu. Jika ini berlaku, Kassim tidak boleh menuntut haknya untuk pampasan takaful kerana mencederakan diri sendiri adalah salah satu pengecualian pempasan.

Sekarang Kassim Selamat menjadi pengurus ejensi. Dia berpesan, sekiranya ada mana-mana pembaca yang ingin menyertai plan takaful tersebut, bolehlah menghubungi salah seorang kawannya di afyan.ikhlas@gmail.com.

#5 – Halangan dan Kritikan Adalah Cabaran Biasa Agen Takaful

Oh ya, pengalaman Kassim Selamat ketika mula-mula menjadi ejen, mendapat halangan daripada orang tersayang adalah pengalaman biasa bagi mana-mana ejen-ejen baru. Jika saudara berminat untuk menyertai Kassim Selamat sebagai ejen takaful, boleh hubungi juga emel di atas. :)

Boleh kita jumpa depan-depan, supaya saya dapat kenal pasti pengurusan kewangan bersesuaian dengan diri anda?
Adakah tuan sudah terima emel kami?
Jika belum, mohon cek emel di folder spam
Ya, Sudah Dapat!